Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

'Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan' - Asyraf Wajdi

27 Dec 2025 10:25pm

Kekangan kewangan tidak seharusnya menjadi faktor kenapa ibu bapa menolak peluang anak-anak mereka yang ditawarkan memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Nasihat itu dititipkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang memberi penegasan, pihaknya komited membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melalui pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Khas BUDI MARA.

"Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan.

"Saya sudah minta pengurusan MARA dan MRSM agar bantu mereka yang susah. Bantuan Khas BUDI MARA juga ada disediakan," kata beliau dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi turut berkongsi kisah sebuah keluarga di kampung pedalaman di Pasir Mas, Kelantan yang dihimpit kesulitan selepas ketua keluarga itu tidak lagi bekerja akibat kemalangan, manakala ibu hanya suri rumah.

"Adik beradik empat orang. Baru dapat tawaran ke MRSM Jeli. Namun dek kerana memikirkan kos-kos perbelanjaan untuk ke MRSM, mereka berkira-kira untuk menolak tawaran ini.

"Saya terus hubungi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri Mohamed Noor untuk bantu perbelanjaan awal. Selebihnya, insya-ALLAH saya dan MARA akan bantu," jelas Asyraf Wajdi.

BUDI MARA yang juga Bantuan Pendidikan B40 MARA ialah program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang memberi bantuan penuh persekolahan kepada pelajar daripada keluarga B40.

Artikel Berkaitan:

Program ini memastikan peluang pendidikan berkualiti di MRSM dapat dinikmati secara saksama. - Astro Awani 

 

 

Ringkasan AI

  • Kekangan kewangan tidak seharusnya menghalang anak-anak daripada menghadiri MRSM
  • MARA komited membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan melalui Bantuan Khas BUDI MARA
  • Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar tawaran MRSM tidak ditolak hanya kerana kemiskinan
  • Kisah keluarga di Pasir Mas yang terhimpit ekonomi tetapi dibantu untuk membolehkan anak mereka menghadiri MRSM
  • BUDI MARA merupakan program bantuan pendidikan untuk keluarga B40 yang memastikan akses kepada pendidikan berkualiti di MRSM
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp