
Tragedi lubang kumbahan: KPM ambil tanggungjawab, laporan penuh insiden akan disegerakan - Fadhlina
Laporan kejadian murid Tahun Tiga maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di daerah Lenggeng, Negeri Sembilan akan dikemukakan segera untuk tindakan dan siasatan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mengambil tanggungjawab penuh berhubung perkara itu dan langkah perlu bagi mengelak insiden daripada berulang.
"Kami mengambil tanggungjawab penuh untuk menyiasat perkara ini secara terperinci.
"Laporan lengkap akan dikemukakan dengan segera untuk tindakan lanjut dan bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang," katanya selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi keluarga arwah Abdul Fattah Khairol Rizal di Kampung Masjid, Lenggeng pada Ahad.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad; Pengarah Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Amzan Abd Malek dan Pengarah JPNS, Khalidah Omar.
Fadhlina berkata, KPM sebelum ini melalui Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan telah pun melaksanakan audit keselamatan di sekolah-sekolah.
"Perkara ini memang di bawah perhatian kementerian jadi apabila berlaku kejadian seperti ini ia memberi isyarat bahawa kita perlu memberikan perhatian penuh kepada perkara ini.
"Saya mewakili KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, semoga diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi kehilangan ini," katanya.
Beliau pada masa sama, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya individu yang berani turun ke lubang berkenaan menyelamatkan mangsa.
Dalam kejadian pagi Sabtu, acara sukan sekolah bertukar kecoh selepas mangsa, Abdul Fattah Khairol Rizal,9, terjatuh ke dalam lubang berkenaan.
Mangsa yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dikatakan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah itu sekitar jam 9 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin yang turut berada di lokasi ketika kejadian bagi merasmikan majlis tersebut, bergegas ke lokasi untuk membantu menyelamatkan mangsa.
Sementara itu, ibu mangsa, Norfazila Md Lajin, 43, menghargai keprihatinan warga KPM khususnya menteri dan orang awam yang memberikan sokongan moral kepada keluarga.
"Terima kasih kepada KPM khususnya menteri yang datang menjenguk kami dan ramai pihak turut memberikan sokongan kepada keluarga yang membuatkan kami rasa tidak keseorangan menempuh masa sukar ini.
"Semasa lawatan tersebut, Fadhlina memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan untuk membantu menguruskan hal berkaitan tuntutan insurans serta berhubung rapat dengan Jabatan Kerja Raya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh," katanya.
Ringkasan AI
- Laporan kejadian murid Tahun Tiga maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sekolah akan dikemukakan segera
- Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan bertanggungjawab penuh atas insiden tersebut
- Langkah-langkah perlu diambil untuk mengelak insiden sama berulang
- Audit keselamatan di sekolah-sekolah telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan
- Ucapan takziah dan penghargaan kepada semua pihak termasuk individu yang membantu penyelamatan mangsa disampaikan