Saluran kumbahan lokasi mangsa terjatuh.
Saluran kumbahan lokasi mangsa terjatuh.

Murid Tahun Tiga maut jatuh dalam saluran kumbahan di sekolah

NORAFIZA JAAFARNORAFIZA JAAFAR
27 Sep 2025 02:18pm

Seorang murid lelaki sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Negeri Sembilan maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolah berkenaan dalam kejadian menyayat hati pada pagi Sabtu.

Difahamkan, mangsa berusia sembilan tahun yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah semasa program kejohanan sukan olahraga sekitar jam 9 pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin yang turut berada di lokasi ketika kejadian bagi perasmian majlis berkata, turut bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan berhubung kejadian.

"Ketika itu ramai murid berada di kawasan belakang sekolah kerana berlangsungnya Hari Sukan. Seorang murid perempuan memaklumkan ada budak terjatuh ke dalam lubang.

"Saya bersama beberapa yang lain terus ke lokasi, tetapi pada mulanya memang tak nampak apa-apa. Bila turun ke bawah, barulah nampak topi dan kasut sekolah terapung," katanya.

Menurutnya, salah seorang penduduk bertindak menyelam ke dasar bagi mengeluarkan mangsa.

"Mangsa segera dibawa naik ke atas. Difahamkan mangsa berada di dalam longkang itu selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya dibawa naik.

Artikel Berkaitan:

Usaha menyelamat mangsa melalui CPR.
Usaha menyelamat mangsa melalui CPR.

"Usaha menyelamat diteruskan hampir 30 minit termasuk bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans. Namun pihak hospital kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asna berkata, bangunan sekolah tersebut baru sahaja dirasmikan pada tahun lalu dan sepatutnya telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CF) sebelum diserahkan.

"Namun, saya akan tunggu laporan lengkap terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk mendapatkan rawatan. Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.

"Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Rembau bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Setakat ini, siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah dikenal pasti," ujarnya.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPD Nilai ditalian 06-7902222. 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp