
Tudung tidak cukup labuh, guru didakwa gunting tudung pelajar
Tudung pelajar yang dikatakan tidak labuh didakwa menjadi punca tindakan seorang guru menggunting tudung mereka di sebuah sekolah menengah di sini.
Susulan kejadian itu, sebahagian ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati sebelum isu tersebut ditularkan di media sosial pada Sabtu.
Berdasarkan hantaran yang tular, kejadian dikatakan berlaku pada Jumaat iaitu hari kelima sesi persekolahan 2026 bermula.
Menurut dakwaan dalam hantaran berkenaan, beberapa pelajar perempuan telah digunting tudung mereka atas alasan tudung yang dipakai tidak memenuhi kriteria ditetapkan.
Bagaimanapun, tindakan disifatkan sebagai memalukan dan memberi kesan emosi kepada pelajar yang terlibat.
Ibu bapa yang meluahkan rasa kecewa dalam hantaran itu mendakwa tindakan berkenaan bukan sahaja tidak wajar, malah dianggap merosakkan harta benda serta menyinggung perasaan pelajar.
Mereka berpendapat, isu sedemikian sepatutnya diselesaikan secara berhemah, termasuk melalui teguran atau pengeluaran surat amaran jika pelajar melakukan kesalahan dan bukannya dengan tindakan agresif seperti menggunting tudung.
Tinjauan di ruangan komen mendapati kebanyakan ibu bapa dan penjaga tidak bersetuju dengan tindakan yang disifatkan mengguris perasaan pelajar dan keluarga.
Selain itu, tindakan berkenaan turut dikatakan menambah beban kewangan ibu bapa, khususnya golongan kurang berkemampuan yang terpaksa menyediakan semula tudung untuk anak-anak mereka.
Sementara itu, dalam hantaran lain, ibu bapa meminta guru berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung perkara tersebut.
Ringkasan AI
- Tudung pelajar yang tidak labuh didakwa menjadi sebab guru gunting tudung di sekolah menengah
- Ibu bapa luah rasa tidak puas hati di media sosial
- Kejadian berlaku pada hari kelima sesi persekolahan 2026
- Tindakan guru disifatkan memalukan dan beri kesan emosi pada pelajar
- Ibu bapa mahukan guru buat permohonan maaf secara terbuka