
Guru didakwa gunting tudung pelajar dipindahkan ke sekolah lain - Pengarah Pendidikan Sabah
Guru yang didakwa menggunting tudung pelajar di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu, Sabah pada Jumaat lalu telah dipindahkan ke sekolah lain.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, tindakan itu diambil melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.
"Guru tersebut telah memohon maaf kepada ibu bapa pelajar berkenaan dan PPD Lahad Datu mengambil tindakan menukarkan guru berkenaan ke sekolah lain manakala murid kekal di sekolah tersebut.
"Guru tersebut juga telah menggantikan tudung pelajar yang digunting," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu tular seorang guru didakwa mengambil tindakan menggunting tudung pelajar yang dikatakan tidak cukup labuh.
Sehubungan itu, Raisin menyeru agar guru sentiasa berhemah dalam tindakan dengan mempertimbangkan pelbagai faktor seperti kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
"Pada masa yang sama saya juga menasihatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak sekolah.
"Semua peraturan yang dilaksanakan berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk memberi kebaikan kepada murid.
"Saya juga berharap perkara ini tidak berlaku di sekolah lain," tegasnya.
Pada Sabtu, media melaporkan isu tular itu apabila ada sebahagian ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati berhubung tindakan guru tersebut.
Berdasarkan hantaran yang tular, kejadian dikatakan berlaku pada Jumaat iaitu hari kelima sesi persekolahan 2026 bermula.
Menurut dakwaan dalam hantaran berkenaan, beberapa pelajar perempuan telah digunting tudung mereka atas alasan tidak labuh.
Bagaimanapun, tindakan tersebut disifatkan sebagai memalukan dan memberi kesan emosi kepada pelajar yang terlibat.
Malah ibu bapa turut meluahkan rasa kecewa dalam hantaran itu yang mendakwa tindakan berkenaan bukan sahaja tidak wajar, malah dianggap merosakkan harta benda serta menyinggung perasaan pelajar. - Sinar Harian
Ringkasan AI
- Guru yang didakwa menggunting tudung pelajar di Lahad Datu telah dipindahkan ke sekolah lain
- Tindakan diambil melalui Pejabat Pendidikan Daerah Lahad Datu
- Guru memohon maaf dan menggantikan tudung yang digunting
- Raisin menyeru guru berhemah dan pelajar patuhi peraturan sekolah
- Isu ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa