USIM
USIM

Tunku Ali Redhauddin dan Tun Zaki dilantik semula sebagai Pro-Canselor USIM

Nor Azma  Muhamat Laila
27 Aug 2021 06:31pm
A
A
A

NILAI – Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berkenan melantik semula Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tun Zaki Tun Azmi sebagai Pro-Canselor USIM.

Tempoh lantikan semula tersebut adalah selama tiga tahun berkuatkuasa 1 Ogos lalu sehingga 31 Julai 2024.

Tunku Ali Redhauddin kali pertama dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor USIM dalam Majlis Konvokesyen USIM kali ke-10 pada tahun 2012 manakala Tun Zaki yang merupakan mantan Ketua Hakim Negara dimasyhurkan pelantikannya dalam Majlis Konvokesyen USIM kali ke-16 pada 2018.

Sebagai seorang yang dikenali dan sentiasa bergiat aktif dalam program-program pembangunan masyarakat seperti penganjuran bengkel-bengkel kepimpinan untuk pelajar dan juga golongan professional muda, ia menjadi antara faktor Tunku Ali Redhauddin amat dekat di hati dan mudah didekati mahasiswa USIM.

Seringkali terlibat dalam program anjuran mahasiswa seperti Pesta Konvokesyen, Larian Nocturnal dan program khidmat komuniti, Tunku Ali Redhauddin juga sentiasa menyokong pelbagai program utama universiti.

Pada tahun lalu bagi memastikan warisan adat budaya di Negeri Sembilan terus dipelihara, Tunku Ali Redhauddin berkenan menjadi penaung dan menyumbang buah fikiran kepada penghasilan buku Adab Dalam Teromba : Unsur Islam dalam Kesusasteraan Melayu terbitan Pusat Kebudayaan USIM.

Tun Zaki Tun Azmi pula telah memainkan peranan yang signifikan kepada pengurusan universiti dalam berkongsi pengalaman, cadangan dan idea ke arah memantapkan elemen tadbir urus universiti dari semasa ke semasa.

Sebagai tokoh yang disegani dalam bidang kehakiman dan perundangan, beliau memanfaatkannya dengan menambahbaik kurikulum program akademik di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) sejak 2011 lagi apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di fakulti berkenaan.

Tun Zaki merupakan antara pihak yang turut sama membantu universiti sehingga berjaya mendapat pengiktirafan penuh program pengajian undang-undang daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) pada Mei lalu.

Mewakili Pengurusan Universiti, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Ridza Wahiddin menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Canselor melantik semula kedua-dua Pro-Canselor untuk terus menyumbang bakti kepada USIM.

Warga kampus amat berbesar hati dengan pelantikan semula ini dan berharap agar kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh hebat ini dapat membawa USIM untuk terus melangkah dengan lebih jauh sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Islam terkemuka yang diiktiraf, menjadi rujukan serta dihormati di dalam dan luar negara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok