Untitled (22)
Untitled (22)

UIAM jalin kerjasama pintar dengan enam syarikat, mantapkan jaringan industri

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Oct 2021 07:13pm
A
A
A

GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui Pejabat Jaringan Industri (OIL) menjalinkan kerjasama pintar dengan enam buah syarikat dalam memantapkan lagi hubungan dan jaringan industri bagi kebaikan kedua belah pihak.

Kerjasama pintar ini termeterai melalui majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangsung secara maya di sini, pada Jumaat.

Syarikat yang terlibat dalam kerjasama ini ialah Coretech System Co. Ltd, Global Peace Mission, Institut Jantung Negara Sdn Bhd, Muehlbauer Technologies Sdn Bhd, Nippon Muslim Corporation dan The Trustees Of Hidayah Centre Foundation Registered.

Dalam majlis MoU ini, UIAM diwakili oleh Rektornya, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak manakala lima syarikat iaitu Coretech System Co Ltd, Global Peace Mission, IJN, Nippon Muslim Corporation dan The Trustees of Hidayah Centre Foundation Registered masing-masing diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif iaitu Rong Yeu-Chang, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim, Zulkarnain Hasan Basri, Muhammad Fakharuddin Abdul Kudos.

Muehlbauer Technologies Sdn Bhd pula diwakili oleh Sekar Ramasamy sebagai Pengarah Urusan.

Menurut Prof Dzulkifli, inisiatif MoU dan kerjasama yang dijalinkan dengan dua organisasi antarabangsa dan empat syarikat tempatan ini adalah untuk merapatkan lagi jalinan kerjasama industri dan akademik dalam pelbagai bidang.

"Kerjasama ini juga diharap dapat memantapkan lagi aspek penyelidikan dan pembangunan akademik supaya dapat terus menerajui ilmu pengetahuan dalam bidang kesihatan, kemanusiaan dan teknologi.

“Apa yang diharapkan ialah melalui kerjasama ini, ia akan memantapkan lagi jabatan dan pusat yang terlibat. Selain itu juga, pihak Kulliyyah juga dapat menerima manfaat untuk para pelajar dari segi penyelidikan, latihan akademik, projek penyelidikan dan sebagainya yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak," ujar beliau.

Di UIAM, Kulliyyah (fakulti) yang akan terlibat dalam kerjasama ini ialah Kulliyyah Kejuruteraan dan Kulliyyah Pengurusan Dan Bahasa manakala pejabat dan pusat yang terlibat ialah OIL dan Pusat Perkhidmatan dan Jalinan Komuniti (CENSERVE) selain Sultan Ahmad Shah Medical Centre@IIUM yang juga terlibat dalam kolaboratif ini.

Kerjasama ini juga akan menjadi nilai tambah potensi dan bakat kepada organisasi yang terlibat memberikan penghasilan yang terbaik dalam kualiti pengajaran, pendidikan dan penyelidikan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok