No Image Caption

UiTM Kampus Kuala Pilah bakal terima peranti satelit Starlink

ROSHLAWATY MD RAIEH
25 Jul 2023 03:20pm
A
A
A

Baru-baru ini, Sinar Bestari melaporkan syarikat penyedia perkhidmatan internet, Starlink bakal menyediakan perkhidmatan internet satelit mereka di dua lokasi iaitu di institut pengajian tinggi (IPT) dan sekolah.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Lesen Pemberi Kemudahan dan Perkhidmatan Rangkaian kepada wakil Starlink telah diberikan pada Khamis sekali gus membenarkan syarikat itu menyediakan perkhidmatan internet satelit di Malaysia terutama di kawasan pedalaman.

Susulan perkhidmatan itu, Sinar Bestari difahamkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal menerima 10 peranti satelit Starlink dalam masa terdekat sebagai usaha kerajaan mempertingkat kualiti perkhidmatan internet di kampus cawangannya.

Fahmi berkata, antara cawangan yang berpotensi menerima peranti itu adalah UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah berikutan perbincangan bersama Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Janor.

“Bila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebut tentang penyelesaian internet dengan menggunakan Starlink, saya percaya bagi UiTM, ada beberapa kampusnya yang mungkin boleh memanfaatkan penggunaan peranti ini terutama di Kuala Pilah, Perak, Tawau dan Sarawak.

“Saya berharap dalam minggu ini kita akan menerima sekurang-kurangnya 10 unit Starlink dan saya akan bincang dengan Pejabat Perdana Menteri untuk proses penyerahan,” katanya selepas meninjau capaian Internet di UiTM Shah Alam pada Ahad.

Sebelum itu, kerajaan merancang perolehan 40 peranti satelit Starlink untuk kegunaan IPT dan sekolah seluruh negara dalam usaha meningkatkan capaian internet sekali gus mewujudkan akses lebih luas dan pantas untuk mahasiswa dan para pelajar.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok