Penetapan tarikh Ujian Amali Sains SPM 2023 membabitkan empat subjek iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan. (Gambar hiasan)
Penetapan tarikh Ujian Amali Sains SPM 2023 membabitkan empat subjek iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan. (Gambar hiasan)

Ujian Amali Sains SPM bermula 5 Disember ini

29 Nov 2023 10:35am

Ujian Amali Sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, akan dilaksanakan bermula 5 hingga 7 Disember nanti.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penetapan tarikh ujian amali itu membabitkan empat subjek iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan.

Menurut kementerian itu, seramai 91,908 orang calon telah mendaftar bagi subjek Fizik, Kimia (93,135 calon), Biologi (72,841 calon) dan 1,784 calon bagi mata pelajaran Sains Tambahan.

"Kesemua calon diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

"Calon juga diingatkan membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan. Mereka juga wajib patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan.

"Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my," jelas KPM di sini pada Rabu.

Sementara itu, KPM memandang serius akan keselamatan dan kebajikan calon serta kesemua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM berlangsung.

"Kesemua calon SPM 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.

Artikel Berkaitan:

"Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.

"KPM sentiasa bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp