Fadhlina (tengah) ketika sesi sidang media khas hari ini.
Fadhlina (tengah) ketika sesi sidang media khas hari ini.

Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 diteruskan esok - Fadhlina

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
01 Dec 2024 01:26pm

"Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 akan diteruskan seperti yang dijadualkan mulai esok hingga 5 Disember ini."

Demikian kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam sidang media khas pada Ahad.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersiap siaga dengan prosedur operasi standard (SOP) ‘Ops Payung’ dan juga mempunyai pelan tindakan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Dalam masa sama, pekeliling mengenai MTL kepada warga KPM telah pun dikeluarkan pada 22 Oktober.

"Program kesiapsiagaan MTL telah dilancarkan 28 Oktober lalu.

"Jadi secara keseluruhannya, berdasarkan kesiapsiagaan yang kita lakukan, KPM sudah bersedia untuk menghadapi apa jua situasi banjir dalam menghadapi peperiksaan SPM tahun ini,” ujarnya.

Sambung Fadhlina lagi, KPM turut bekerjasama sepenuhnya dengan agensi-agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi memastikan SPM berjalan dengan lancar.

Malah, proses dari segi libat urus dan juga memastikan semua hal berkaitan keselamatan telah pun KPM dapat melalui sesi bersama mereka.

"Keputusan untuk meneruskan telah mengambil kira nasihat dari pihak keselamatan khususnya NADMA.

"Ia juga mengambil kira ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) tentang situasi MTL yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp