1194440
1194440

Ujian kemasukan MRSM bermula 3 Disember ini

Mohd Khairi Mohamad Yusri
30 Nov 2021 09:45am
A
A
A

PADANG TERAP - Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi pelajar Tingkatan Satu dan Empat untuk tahun depan, akan diadakan pada awal bulan depan.

Tarikh 3 Disember 2021 telah ditetapkan bagi calon yang berada di negeri Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu, manakala calon dari negeri lain bermula pada 4 Disember ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga kini Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah menerima 57,122 permohonan untuk ke Tingkatan Satu dan 17,350 permohonan ke Tingkatan Empat bagi tahun 2022.

BACA JUGA: 9 bulan 22 hari Dany Al-Fathoni hafal 30 juzuk al-Quran, hebat didikan mak ayah pelajar MRSM ini

BACA JUGA: Kesungguhan Cikgu Mohammad Aliff bawa pelajar jelajah 103 negara buat ramai salute! Untung MRSM, ada guru yang hebat

“Pelajar ini akan dipanggil untuk menduduki ujian secara berperingkat sehingga 30 Januari depan. Semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh disemak dalam talian bermula jam 10 pagi Isnin melalui Portal Rasmi Mara,” katanya.

Mahdzir memaklumkan, pemohon akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

“Calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan. Kesemua calon terlibat akan menduduki ujian khas ini di 61 buah pusat ujian terpilih, melibatkan 53 buah MRSM di seluruh negara,” ujarnya.

Menurut beliau, selebihnya ujian akan diadakan di lapan buah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.

IKUTI GPSBestari di twitter dan instagram

“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan lengkap menjelang hari peperiksaan dan saya doakan semuanya berjalan lancar,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, setakat 30 September 2021, jumlah pelajar tajaan Mara adalah seramai 50,555 orang, iaitu 89 peratus daripadanya atau 44,004 pelajar adalah daripada keluarga B40.

“Sekitar 10 peratus atau 5,055 adalah pelajar M40 dan hanya satu peratus atau 506 pelajar daripada keluarga T20,” katanya.

Sebarang maklumat serta informasi terkini, layari portal rasmi Mara di pautan www.mara.gov.my atau laman media sosial Mara di Facebook, Instagram dan Twitter.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok