UKM, MAC jalin kerjasama jayakan micro credentials kolektif, perkasa pendidikan tinggi secara digital
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Malaysian Academic Consortium Sdn Bhd (MAC) bagi menjayakan program micro credentials melalui platform yang lebih terbuka dan bersepadu dikenali sebagai Pelantar Micro Credential ‘Kolektif’ dalam memperkasakan pendidikan tinggi secara digital.
Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, keunikan kerjasama berkenaan adalah melalui kaedah penyampaian perkhidmatan yang diberikan melalui micro credentials yang akan menggunakan automasi dan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
“Pendekatan pembelajaran melalui platform ini juga akan memberikan penjimatan yang ketara kepada UKM dan institut pendidikan tinggi (IPT) yang lain di samping melonjakkan inovasi pembelajaran sedia ada dengan kebolehan digital dan teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Platform digital berkenaan dibangunkan bagi kegunaan ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia dengan akses terbuka kepada semua universiti awam selain direka khusus untuk memenuhi keperluan digitalisasi negara melalui pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dan hibrid.
Kerjasama berkenaan telah dimeterai melalui majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) antara MAC dan UKM dengan MAC diwakili oleh Ketua Eksekutifnya Datuk Dr Shahril Mohamed Haniffa manakala UKM diwakili oleh Mohd Ekhwan.
Majlis prapelancaran pelantar berkenaan dilakukan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Putrajaya pada Khamis.
Hadir sama ke majlis tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Abdul Razaj Jaafar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff.
Pada majlis yang sama turut diadakan acara penandatanganan Surat Niat Bersama sembilan IPT antaranya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). - BERNAMA