Fifi Nurfatin menunjukkan keputusan cemerlang SPM 2023 yang diperolehinya iaitu 9A.
Fifi Nurfatin menunjukkan keputusan cemerlang SPM 2023 yang diperolehinya iaitu 9A.

Ulang kaji seawal jam 4 pagi berbaloi!

28 May 2024 09:50am

Berkat pengorbanan bangun seawal 4 pagi untuk mengulang kaji ternyata membuahkan hasil buat seorang pelajar Orang Asli dari Kampung Sungai Segenting, Chenderiang yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Isnin.

Fifi Nurfatin Marjaidi Hirwan, yang berasal dari suku Semai berkata dia dan ibu bapa menangis kegembiraan selepas menyemak keputusan secara dalam talian di rumah.

Anak sulung daripada empat beradik itu memperoleh A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik dan A bagi Bahasa Inggeris, Fizik dan Kimia serta A- subjek Matematik Tambahan dan Biologi.

Dia yang tidak percaya dengan keputusan itu kemudian bergegas ke Sekolah Menengah Sains Tapah untuk mendapatkan slip keputusan SPM.

Fifi Nurfatin memperlihatkan keputusan SPM 2023 yang diterimanya kepada ibu bapanya.
Fifi Nurfatin memperlihatkan keputusan SPM 2023 yang diterimanya kepada ibu bapanya.

"Saya amat bersyukur atas kejayaan ini dan berharap semakin ramai Orang Asli akan lebih cemerlang dalam pelajaran selepas ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumah neneknya di sini hari ini.

Berkongsi usahanya untuk memperoleh keputusan cemerlang itu, Fifi Nurfatin berkata dia tidak menghadiri kelas tuisyen sebaliknya memberi tumpuan ketika sesi pembelajaran dan kelas tambahan di sekolah.

Dia yang menyimpan cita-cita untuk menjadi warga pendidik juga mengetepikan perasaan rendah diri dan berusaha mendapatkan bantuan guru secara peribadi apabila tidak memahami sebarang topik dalam mata pelajaran.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga sering mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam dan bangun seawal 4 pagi untuk sambung belajar demi mendapatkan kejayaan ini.

"Memang tidak sangka saya berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran kerana ketika percubaan SPM saya hanya dapat 3A," katanya yang juga aktif dalam sukan Bola Keranjang sehingga mewakili ke peringkat daerah dan Catur ke peringkat negeri.

Bapanya yang bekerja sebagai tukang kebun sering berpesan supaya tidak meninggalkan solat manakala ibu pula mengingatkan supaya tidak membandingkan diri dengan orang lain juga menjadi antara dorongan untuk berjaya.

Sementara itu, bapanya Marjaidi Hirwan Sinak, 40, amat bersyukur dan gembira selepas pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang anaknya bersekolah.

"Dia memang rajin belajar sejak kecil lagi dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk aktif dalam sukan.

"Bantuan diterima menerusi biasiswa Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebanyak RM700 ketika anaknya memasuki tingkatan lima serba sedikit membantu membiayai perbelanjaan dan keperluan sekolah," katanya.

-- BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp