Untitled (13)
Untitled (13)

UMT bantu rancakkan EduTourism di Terengganu

Nor Azma  Muhamat Laila
18 Nov 2021 07:01pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan khidmat kepakaran kepada Lembaga Penggalak Pelancongan, Tourism Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong sambil merancakkan kempen pemuliharaan alam sekitar.

Kerjasama itu dimeterai dalam majlis yang berlangsung di Pusat Komunikasi Strategik UMT, Putrajaya, pada Selasa.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Mazlan Abd Ghaffar, berkata UMT mempunyai matlamat yang jelas dalam menjalankan kajian daripada aspek sains dan sosial berkaitan marin sama ada di kampus mahupun luar kampus.

“Aktiviti pelancongan penting dalam meningkatkan ekonomi negara dan saya melihat perjanjian kerjasama ini juga mampu memberi impak besar dalam pengukuhan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Menjadi tugas serta keutamaan UMT untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan serta memberi pendedahan dan perkongsian ilmu secara langsung atau tidak langsung kepada komuniti sekitar khususnya," katanya.

Tambah Prof Mazlan lagi, melalui MOC ini, pelbagai projek dan program strategik telah dirangka, antaranya cadangan penyelidikan antara UMT dan Tourism Malaysia.

"Hasil penyelidikan sebenarnya dilihat mampu meningkatkan budaya keusahawanan, membuka peluang pekerjaan, membangunkan produk pelancongan baharu dalam kalangan komuniti serta berupaya memberikan impak positif bagi peningkatan ekonomi kualiti taraf hidup masyarakat.

“Dengan adanya kerjasama ini, pihak universiti dapat memperkasakan penawaran EduPelancongan (EduTourism) kepada pelancong tempatan mahupun luar negara sekali gus berupaya mempromosikan keunikan pelancongan marin di Terengganu," tuturnya.

Antara inisiatif penyelidikan UMT yang boleh diketengahkan ialah Turtle Lab dan Program Sukarelawan SEATRU, Program Kraftangan Kercut Beting Lintang di bawah projek Mek Flora Setiu, Bengkel Coral Restoration dan Dive Heart Special Ability Diver.

Selain itu, terdapat beberapa lagi program di bawah seliaan penyelidik UMT yang kebanyakannya dijalankan di empat buah Stesen Penyelidikan Alami UMT Pulau Bidong, Chagar Hutang Pulau Redang, Tasik Kenyir dan Tanah Bencah Setiu turut boleh dijadikan sebagai tarikan pelancongan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok