mouumt1
mouumt1

UMT dan NUUz jalin kerjasama, fokus pelan pemulihan Covid-19

Nor Azma  Muhamat Laila
15 Jan 2022 05:03pm
A
A
A

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengukuhkan lagi kerjasama dengan National University of Uzbekistan (NUUz) melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai, baru-baru ini.

Perjanjian itu dimeterai setelah melihat potensi serta peluang kolaboratif yang menguntungkan susulan kunjungan rasmi penyelidik dari NUUz ke UMT pada tahun 2019.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, beliau optimis bahawa MoU itu bakal memberi impak yang baik dalam pembentukan pelan pemulihan Covid-19.

“UMT melihat MoU ini sebagai platform bagi para penyelidik kedua-dua universiti menggembleng kepakaran untuk merangka pelan jangka panjang selari Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kemampanan pelan pemulihan Covid-19 untuk membina masa depan yang mampan.

“Saya yakin dan percaya bahawa jika peluang ini diguna sebaik mungkin, lebih banyak peluang projek kerjasama yang boleh dilaksanakan sekali gus mempercepatkan transformasi kedua-dua negara ke arah yang lebih mampan serta dijadikan negara contoh," katanya.

Tambah Mazlan lagi, kerjasama itu juga menzahirkan keutuhan hubungan jalinan kerjasama rentas sempadan dan juga komitmen kedua-dua universiti dalam pembangunan negara.

“Saya berharap hubungan antara UMT dan NUUz akan menghasilkan sinergi bagi membawa kemajuan yang lebih baik dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan untuk manfaat masyarakat dan negara," ujarnya.

Majlis kolaboratif strategik itu diadakan secara maya yang mana UMT diwakili oleh Mazlan sementara NUUz diwakili Naib Rektor Utama, Profesor Toshmatov Shukhrat Omonovich.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok