umt3
umt3

UMT gerak skuad banjir, agih sumbangan RM22,400

Nor Azma  Muhamat Laila
27 Dec 2021 07:01pm
A
A
A

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggerakkan lebih 200 sukarelawan bagi misi bantuan mangsa banjir di Pahang.

Skuad bantuan banjir yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar itu disertai secara sukarela untuk menyalurkan bantuan makanan serta menyumbang tenaga kepada mangsa terjejas.

Penyelaras Misi Bantuan Banjir UMT, Abdullah Syukri M Salleh berkata, tumpuan misi banjir fasa 1 memfokuskan kediaman pelajar UMT yang terkesan dengan banjir di sekitar negeri Pahang.

“Alhamdulillah, UMT berjaya tubuhkan sukarelawan dalam tempoh kurang 24 jam setelah pengumuman dibuat.

“Sejumlah 130 sukarelawan terdiri daripada staf dan pelajar telah menjalankan operasi pembersihan kediaman mahasiswa UMT yang terjejas akibat banjir iaitu di Taman Inderapura, Taman Indera Sempurna, Kampung Bukit Rangin dan Kampung Melayu Sungai Lembing.

“Kita berjaya menjalankan operasi pembersihan membabitkan 20 buah rumah pada hari pertama di samping pengagihan bakul makanan bagi meringankan beban keluarga yang terjejas teruk,” katanya.

Ujarnya lagi, misi bantuan fasa 2 menyasarkan 60 buah rumah serta kemudahan awam seperti balai raya, masjid dan sebagainya melibatkan dana keseluruhan berjumlah RM 22,400.

“Kita akan teruskan dengan fasa 2 membabitkan kekuatan seramai 77 orang yang mana memfokuskan 40 buah rumah selain kemudahan-kemudahan awam yang turut terjejas seperti balai raya, masjid dan sebagainya.

“Kita juga tingkatkan jumlah agihan bakul makanan daripada 20 kepada 700 bakul dan kesemua sumbangan dana ini diuruskan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud UMT,” jelasnya.

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia, UMT telah mengumumkan pengecualian kuliah dan pembelajaran sepanjang tempoh bertenang selama tujuh hari bermula dari 19 Disember 2021.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok