UPSA bukan sahaja menguji pengetahuan murid terhadap subjek akademik, malah turut menilai kemahiran berfikir, kefahaman konsep dan keupayaan menjawab soalan berbentuk KBAT.
UPSA bukan sahaja menguji pengetahuan murid terhadap subjek akademik, malah turut menilai kemahiran berfikir, kefahaman konsep dan keupayaan menjawab soalan berbentuk KBAT.

UPSA selesai! Ini penjelasan gred markah yang ibu bapa perlu tahu

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
23 Jun 2025 01:52pm

Ujian Pertengahan Sesi Akademik (UPSA) bagi tahun ini telah pun melabuhkan tirainya.

Ribuan murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah menamatkan ujian penting ini, yang merupakan penilaian berkala sebelum mereka menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) pada hujung tahun nanti.

UPSA merupakan sebahagian daripada sistem pentaksiran berpusat yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai usaha memperkukuh penilaian berasaskan sekolah dan memberi gambaran terhadap pencapaian murid dalam tempoh setengah tahun pengajian.

Ia diduduki oleh murid Tahun Empat hingga Tahun Enam di sekolah rendah dan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga di sekolah menengah.

Ujian itu bukan sahaja menguji pengetahuan murid terhadap subjek akademik, malah turut menilai kemahiran berfikir, kefahaman konsep dan keupayaan menjawab soalan berbentuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Bagi murid sekolah rendah, antara subjek utama yang dinilai dalam UPSA ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Manakala pelajar sekolah menengah pula menduduki UPSA melibatkan subjek-subjek seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Bahasa Arab / Bahasa Cina, Pendidikan Islam, Sains Komputer, Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Geografi, Sains, Matematik serta banyak lagi.

Bagaimanapun, senarai subjek yang dinyatakan ini, mungkin sedikit berbeza mengikut aliran atau jenis sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, terdapat segelintir ibu bapa yang keliru dan kurang jelas dengan sistem gred atau markah yang digunakan dalam UPSA.

Ini kerana UPSA tidak menggunakan sistem gred tradisional seperti A, B, C atau 100 markah penuh semata-mata.

Sebaliknya, KPM telah menetapkan julat markah tertentu sebagai panduan dan ia biasanya merujuk kepada skala prestasi seperti berikut:

1) 82 hingga 100 peratus, A (gred), Cemerlang (tafsiran gred)

2) 66 hingga 81 peratus, B, Kepujian

3) 50 hingga 65 peratus, C, Baik

4) 35 hingga 49 peratus, D, Memuaskan

5) 20 hingga 34 peratus, E, Mencapai Tahap Minimum

6) 0 hingga 19 peratus, F, Belum Mencapai Tahap Minimum

Semoga dengan pencerahan ini, ia dapat membantu ibu bapa memahami dengan lebih jelas fungsi dan kepentingan UPSA dalam perkembangan akademik anak-anak.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp