shafiqah
shafiqah

UPSI tawar kursus pengajian minor Jawi, lahir graduan berkebolehan dalam bidang jawi

Nor Azma  Muhamat Laila
18 Apr 2022 01:11pm
A
A
A

Sejarah telah mencatatkan bahawa bahasa Melayu bertulisan jawi telah menjadi bahasa perantaraan seluruh genap lapisan masyarakat sama ada raja dan sultan, bangsawan, ilmuwan agama mahupun masyarakat awam di nusantara pada satu masa dahulu.

Namun setelah tulisan rumi diperkenalkan dan dijadikan agenda bagi mengantikan tulisan jawi oleh beberapa orang tokoh barat menyebabkan tulisan rumi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Melayu.

Susulan itu, kedudukan tulisan rumi semakin kuat apabila ia dipilih sebagai tulisan rasmi bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dengan dokongan Penyata Razak 1956 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Bagaimanapun, bagi memastikan tulisan jawi tidak terus luput ditelan zaman, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil inisiatif menawarkan kursus pengajian minor Jawi di bawah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) bermula 2006/2007.

Pensyarah Kanan FBK yang juga mengajar kursus pengajian minor Jawi, Dr Sabariah Sulaiman berkata, kursus berkenaan diasaskan oleh Profesor Emeritus Dr Muhammad Bukhari Lubis untuk menyedarkan dan memberi kemahiran jawi kepada bakal guru dengan kandungan yang mencukupi sebelum mereka menceburi dunia kerjaya.

Terbuka kepada semua pelajar

“Kursus pengajian minor Jawi ini boleh diambil oleh mana-mana pelajar yang berminat daripada mana-mana fakuti dan diwajib untuk pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu.

Sabariah.

“Di bawah pengajian minor Jawi ini, terdapat sembilan kursus yang perlu dipelajari oleh pelajar termasuklah asas penulisan jawi, sistem ejaan Jawi di sekolah, nahu dan stailistika Melayu, kajian manuskrip Melayu dan aplikasi komputer dalam tulisan jawi,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Sejak mula diperkenalkan sehinggalah ke hari ini, pengajian minor Jawi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar UPSI kerana ia bukan saja menyediakan pendidikan mengenai jawi semata-mata tetapi turut memberi pendedahan mengenai seni khat.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dengan Kepujian, Nur Alia Syafikah Hamdan berkata, dia memilih untuk mengikuti kursus jawi kerana mahu mengukuhkan penguasaan dalam subjek berkenaan.

“Oleh kerana saya merupakan pelajar dalam bidang Bahasa Melayu, wajar bagi saya untuk memilih kursus jawi untuk meningkatkan kemahiran dalam aspek bahasa Melayu kerana tulisan Jawi dan bahasa Melayu saling melengkapi antara satu sama lain.

Nur Alia Syafikah.

“Pengajian jawi bukan saja terikat dengan tulisan semata-mata tetapi banyak aspek lain yang turut ditekankan seperti penggunaan komputer dan aplikasi dalam talian untuk pengajaran dan pembelajaran jawi.

Buka minda pelajar

“Pendekatan pengajaran ini dapat membuka minda pelajar agar lebih berinovasi dan kreatif dalam penyaluran ilmu.

“Jelaslah, kursus pengajian jawi yang ditawarkan di UPSI meliputi semua aspek yang perlu ada pada seorang bakal guru,” ujarnya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains) dengan Kepujian, Syafiqah Mohd Rahim pula memilih untuk mengambil dan mengikuti kursus pengajian minor Jawi kerana ingin mempelbagaikan pengetahuan dalam dirinya.

Syafiqah.

“Saya bukan sahaja mahu menjadi seorang yang berpengetahuan dalam bidang Sains tetapi juga mendalami bahasa dan sejarah Melayu iaitu dari segi penggunaan tulisan dan bagaimana wujudnya tulisan jawi yang kita dapat lihat pada hari ini.

“Ini dapat menjadi nilai tambah dalam diri saya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti kelak kerana untuk menjadi seorang pendidik yang cemerlang dan berkualiti demi melahirkan modal insan terbilang, seseorang guru itu perlulah berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang, bukan sahaja dalam bidang kepakarannya,” jelasnya.

Mengulas mengenai usaha memperkasakan tulisan jawi di masa akan datang, Syafiqah berharap agar subjek Jawi ini dijadikan sebagai mata pelajaran tambahan dan diambil kira dalam keputusan peperiksaan.

“Dalam pada itu, pihak-pihak berkaitan boleh menganjurkan pelbagai program seperti minggu jawi yang boleh diisi dengan pertandingan kuiz jawi, pantun dan cerpen bertulisan jawi, 'Spell-it-Right' dalam tulisan jawi dan sebagainya dengan menawarkan hadiah-hadiah lumayan bagi para pemenang,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok