upsi2
upsi2

UPSI wujudkan JITU, gariskan 7 inisiatif pasukan berjaya

Nor Azma  Muhamat Laila
10 Mar 2022 04:01pm
A
A
A

TANJONG MALIM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal melengkapkan 100 tahun penubuhannya pada 29 November ini dan pelbagai program telah dan akan dijalankan membabitkan pelbagai pihak termasuk alumni.

Bagi memastikan semua program yang diadakan berjalan lancar, Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, telah melancarkan kumpulan Jaringan Integrasi Teras Universiti (JITU) sempena Bengkel dan Mesyuarat Bersama Persatuan dan Kesatuan UPSI 2022, baru-baru ini.

JITU merupakan satu gabungan baharu yang terdiri daripada empat kumpulan persatuan dan kesatuan kakitangan UPSI iaitu kumpulan Persatuan Kakitangan Akademik (PEKA), Persatuan Pegawai Professional dan Ikhtisas (PRESTASI), Kesatuan Pegawai Am (KPA) dan Persatuan Wanita (PEWARIS).

Penyatuan ini julung kali diadakan secara formal dan kumpulan JITU akan diwakili oleh setiap pengerusi dan setiausaha badan kakitangan UPSI.

Secara amnya, JITU akan berfungsi dan bergerak sebagai satu kumpulan yang akan bersama universiti dalam menjalankan aktiviti yang berskala besar sekali gus memperkasakan ukhuwah antara warga UPSI dalam pengurusan kerja harian.

Antara ahli PRESTASI yang hadir ke Bengkel dan Mesyuarat Persatuan dan Kesatuan UPSI 2022.

Md Amin berkata, kekuatan dan kecemerlangan sesuatu organisasi seperti badan kakitangan ini hendaklah sentiasa disemai.

"Sehubungan dengan itu, saya mengariskan tujuh inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh setiap persatuan dan kesatuan iaitu sistematik, prihatin, bakti, seronok, menjana, berkomunikasi, dan bersatu," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Bengkel dan mesyuarat bersama persatuan dan kesatuan UPSI 2022 ini melibatkan 53 orang kakitangan UPSI dan turut diserikan dengan kehadiran Penaung Persatuan Wanita UPSI (PEWARIS), Datin Pazilah Yahya; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Marzita Puteh; Presiden Kesatuan Pegawai AM (KPA), Saiful Lizan Mohd Lajis dan Presiden PEWARIS, Shakila Mohd Idris.

Sementara itu, Yang Dipertua PEKA, Profesor Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah menyambut baik hasrat dan harapan pengurusan tertinggi universiti melalui penubuhan JITU.

“Pihak kami telah berbincang dan bersetuju bahawa PEKA akan mengetuai JITU bagi tahun pertama dan akan bertukar kepada badan lain mengikut sistem penggiliran.

"PEKA juga mengambil kesempatan untuk merakamkan terima kasih kepada pengurusan tertinggi kerana menyokong dan memberi peluang kepada semua badan kakitangan UPSI membuat semak dan imbang sempena bengkel ini berlangsung,” ujar beliau.

Presiden PRESTASI, Sayed Muhammad Arif Sayed Yahya pula berharap agar semua ahli dapat memberi komitmen dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pengurusan universiti.

"PRESTASI telah merangka gerak kerja dan takwim bagi tahun 2022. Insya-ALLAH kami akan melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan ahli dan menyokong aspirasi universiti," kongsinya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok