Fadhlina
Fadhlina

UPSR tidak akan dikembalikan, fokus kurikulum 2027 - Fadhlina

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Oct 2023 09:12pm

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan!

Demikian kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas melancarkan program Taman Angkat Amanita Taman Pekaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Sabtu.

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada masa ini memberi tumpuan kepada kurikulum 2027 menerusi jelajah atau jerayawara untuk mendapatkan pandangan umum mengenai kurikulum persekolahan yang baharu.

“Kita menerima banyak permintaan dalam kalangan ibu bapa mengenai UPSR ini. Bagaimanapun, saya minta supaya ibu bapa memberi tumpuan kepada jelajah jerayawara ini kerana kita mahu libat urus untuk ‘input-input’ berkaitan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

“Sekarang ini, kita nak bagi tumpuan kepada pentaksiran holistik untuk anak-anak khususnya untuk pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter (anak-anak) itu boleh diperkukuhkan,” ujarnya.

Terdahulu, pada 28 April lalu, Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) turut dibatalkan.

Selaras dengan pemansuhan berkenaan, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk mengukur pencapaian murid dan pelajar terbabit.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp