Usaha KPM tampung kekurangan guru - Fadhlina
Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pengumuman berhubung pengambilan guru baharu dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia merupakan usaha dan komitmen berterusan kementerian untuk menampung isu kekurangan guru dalam negara.
"Saya tidak fikir ia masalah yang tidak boleh ditangani kerana dari segi perancangan dan unjuran kita, ia berlaku dengan sangat baik, begitu juga dengan kemasukan guru yang kita latih dan untuk mengisi setiap kekosongan itu.
"Tak timbul ia satu perkara yang tidak boleh diselesaikan, cuma kita akan ambil kira isu-isu unjuran ini bersama SBP (sekolah berasrama penuh) supaya ia dapat unjuran yang lebih tepat dan pengisian itu dapat berlaku dengan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar Si Burung Kecil dan Ramah Mesra Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Bintang, SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur pada Isnin.
Pada 27 Mac lepas, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM telah melantik 20,171 guru baharu secara tetap dan kontrak bagi mengatasi isu kekurangan guru di sekolah pada tahun lepas.
Menurutnya, kejayaan itu merupakan pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh KPM dalam tempoh setahun.
Mengenai majlis itu, Fadhlina berkata konsep iftar berkenaan adalah sangat penting kerana ia berkait rapat dengan program yang memberikan semangat kepada anak-anak kecil yang sedang berlatih berpuasa.
"Di samping itu, ia merupakan program untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan kerana anak-anak kecil ini akan membuat persembahan yang terkait rapat dengan apa yang ditekankan oleh KPM termasuk penghayatan Hadis 40, dan solidariti kepada Palestin yang kita buat secara konsisten," katanya.
Majlis pada hari ini ialah anjuran KPM dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan FGV Holdings Berhad (FGV). - Bernama