2
2

UTAR rai 2,630 graduan dalam satu konvokesyen maya

Mohd Khairi Mohamad Yusri
08 Sep 2021 07:11am
A
A
A

Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) meraikan 2,630 graduanya dalam satu Majlis e-Konvokesyen yang disiarkan secara langsung di YouTube, baru-baru ini.

Berikutan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini, upacara konvokesyen secara fizikal terpaksa ditunda.

Namun begitu, graduan UTAR boleh memilih untuk mengikuti konvokesyen tersebut secara maya atau secara fizikal yang akan diadakan dalam masa tiga tahun ini, bergantung kepada panduan dan arahan yang diberikan oleh kerajaan.

Canselor UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik dalam majlis konvokesyen maya itu menasihatkan para graduan untuk sentiasa bekerja keras dan mempunyai sikap yang baik walaupun setelah menamatkan pengajian masing-masing.

"Pengijazahan ini menandakan saat peralihan utama dalam hidup, di mana tanggungjawab sebagai pelajar sudah beralih kepada peranan menentukan nasib diri sendiri di masa depan dan anda yang perlu mencorakkannya dengan pilihan masing-masing.

Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/


“Terdapat perjalanan panjang di hadapan yang akan membawa makna, peluang dan cabaran baharu dalam hidup sekali gus membentuk pertumbuhan peribadi dan memerlukan anda membuat sumbangan serta komitmen kepada keluarga, rakan, masyarakat dan negara.

“Saya ingatkan sekali lagi supaya sentiasa kekal fokus, bekerja keras, baik dan hormat kepada keluarga dan rakan-rakan di sekeliling anda. Saya doakan anda semua mendapat kejayaan terbaik dalam hidup,” ujarnya.



Sementara itu, Pengerusi Majlis UTAR, Tan Sri Dr Ting Chew Peh, mengucapkan tahniah dan mengingatkan semua graduan untuk sentiasa merebut setiap peluang yang ada.


“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah di atas kelulusan graduan dan dalam kesempatan ini kita juga meraikan semua kerja keras yang diberikan dalam pengajian dan kejayaan anda menjadi graduan di universiti ini.

“Selama bertahun-tahun, anda telah mendapat rakan, pengetahuan dan kemahiran baharu serta menemui bakat tersembunyi mengenai diri anda. Pengalaman yang tidak ternilai ini akan menjadi landasan untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hidup anda," tuturnya.

Menurut beliau lagi, walaupun menghadapi cabaran semasa, graduan diingatkan supaya jangan putus asa.

"Saya percaya setiap graduan akan mendapat tempat dalam masyarakat dan akhirnya mampu bertahan dalam kehidupan. Yang paling penting, percaya pada diri sendiri, tabah, fokus pada kekuatan anda, dan tetap tekad untuk mencapai matlamat.

"Masa yang lebih baik akan datang, jadi harap bersedia untuk merebut peluang ketika mereka tiba. Tahniah sekali lagi. Saya doakan yang terbaik untuk anda semua," tambah beliau lagi.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Tan Sri Tony Fernandes yang turut menghadiri majlis e-konvokesyen itu memberikan penghargaan kepada para graduan dan menitipkan banyak nasihat berharga serta kata-kata semangat.

Graduan kali ini terdiri daripada 95 program yang berbeza, iaitu 64 peringkat ijazah sarjana muda, 21 ijazah sarjana dan 10 program doktor falsafah (PhD).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok