6
6

UTP jadikan Dewan Canselor sebagai PPV

webadmin
03 Sep 2021 02:03pm
A
A
A

IPOH - Dewan Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Seri Iskandar dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 untuk warganya baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dalam kenyataan berkata, menerusi kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Daerah Perak Tengah, sebanyak 780 warga UTP terdiri daripada kakitangan, pekerja pembersihan dan kontraktor dalaman menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 pada 31 Julai dan dos kedua pada 21 Ogos lalu.

Beliau berkata, program itu merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua institusi bagi membantu Perak mencapai 40 peratus kadar vaksinasi, nilai ambang yang ditetapkan untuk beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

“Dewan Canselor kami tidak asing lagi ketika menganjurkan acara besar seperti konvokesyen, syarahan umum serta pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kali ini, kami berbesar hati dan berbangga dewan ini digunakan untuk tujuan yang lebih besar yang memberi manfaat kepada warga kami dalam memastikan mereka dilindungi daripada Covid-19.

“Kami bersyukur dan berterima kasih atas sokongan Jabatan Kesihatan Daerah Perak Tengah dalam program ‘outreach’ ini dan juga kepada kakitangan dan sukarelawan daripada Kementerian Kesihatan, MERCY Malaysia dan Klinik Redza Seri Iskandar Perak atas sumbangan mereka dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Perak Tengah Dr Ruzita Mustafa juga mengucapkan terima kasih kepada UTP atas kerjasama, komitmen dan bantuan mereka dalam menyediakan tempat, logistik dan tenaga kerja untuk pelaksanaan program vaksinasi itu. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok