Universiti-Teknologi-Petronas
Universiti-Teknologi-Petronas

UTP muncul universiti swasta terbaik Malaysia

Nor Azma  Muhamat Laila
03 Sep 2021 04:44pm
A
A
A

IPOH - Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya menduduki tempat pertama universiti swasta terbaik di Malaysia dan tempat kedua bagi keseluruhan universiti di negara ini, iaitu selepas Universiti Malaya (UM), berdasarkan Times Higher Education (THE) World University Rankings 2022.

UTP dalam satu kenyataan memaklumkan berdasarkan kedudukan ranking terbaharu itu, universiti berkenaan berjaya memperbaiki kedudukannya berdasarkan tiga metrik atau ukuran, iaitu pemetikan sumber, penyelidikan dan gambaran antarabangsa.

"Buat kali pertamanya, UTP telah melepasi band 501-600, iaitu peningkatan daripada band terdahulu 601-800. Ini adalah pencapaian terbaik universiti ini sejak penyertaannya pada 2017.

"Pencapaian ini adalah antara bukti bahawa UTP amat bertekad dalam melaksanakan komitmennya kepada semua pihak berkepentingan, terutamanya syarikat induk kami Petronas, para pelajar, ibu bapa, pihak penaja dan rakan kerjasama,” menurut Naib Canselor UTP, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib yang dipetik sebagai berkata.

Katanya, UTP akan meneruskan momentum sebagai universiti utama dalam kalangan universiti antarabangsa yang setanding dengannya, dengan menyusun semula fokus strategi penyelidikan universiti itu bagi menghasilkan penerbitan berimpak tinggi.

Ini akan dilaksanakan melalui penghasilan aplikasi komersial dan nilai tambah serta dengan menggabungkan lebih banyak kerjasama strategik dengan universiti dan industri di rantau ini.

"Sebagai sebahagian daripada kumpulan Petronas, kami turut melihat peluang signifikan dengan menyelaraskan inisiatif kami bagi menyokong urus niaga Petronas pada masa kini dan akan datang, termasuk agenda kelestarian Petronas.

"Kami berharap ini akan meningkatkan visi perniagaan dan memperkukuh kemampanan kewangan kami, yang sangat penting kepada masa depan universiti ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas atas sokongan kuat yang tidak berbelah-bahagi dan kepada pasukan saya atas dedikasi yang berterusan, kerja keras serta kesungguhan yang telah membawa kita ke tahap ini.

"Begitu juga kepada komuniti UTP, iaitu para pelajar kami dan ibu bapa, yang terus bersama-sama kami dalam perjalanan ini sama ada ketika susah mahupun senang,” katanya.

UTP terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai universiti swasta terbaik di negara ini menerusi pencapaian ranking dunia dan kebangsaan secara konsisten, serta penarafan termasuk menerusi THE, Quacquarelli Symonds (QS), Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dan Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (SETARA).

UTP menduduki tangga ke-111 dalam THE Asia University Rankings 2021, selain tempat ke-134 dalam THE Young University Rankings 2021, manakala bagi QS, UTP berada pada kedudukan ke-70 dalam QS Asia University Rankings 2021.

Universiti berkenaan juga menduduki tempat ke-230 dalam QS World University Rankings mengikut Subjek 2021, apabila kedua-dua subjek Kejuruteraan Petroleum dan Kejuruteraan Mineral universiti itu tersenarai dalam ranking 50 teratas QS World dan tempat pertama pada peringkat kebangsaan.

Selain itu, UTP turut mengekalkan penarafan enam bintang (tahap prestasi tertinggi) dalam MyRA bagi penyelidikan, pembangunan dan program pengkomersialannya serta telah mencapai status enam bintang atau cemerlang dalam SETARA bagi kaedah pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatannya. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok