[VIDEO] RMK13: Prasekolah usia lima tahun bakal diwajibkan
Kerajaan kini sedang bergerak ke arah mewajibkan pendidikan prasekolah bermula pada usia lima tahun sebagai langkah memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak dan meningkatkan keberhasilan sistem pendidikan negara.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut akan disusuli dengan penyediaan lebih banyak kemudahan prasekolah, terutama di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya di kawasan desa.
“Kerajaan sedang bergerak ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur lima tahun. Dalam masa yang sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan KPM akan disediakan, terutama di kawasan desa,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa sistem pendidikan negara akan diperkemas supaya lebih bersepadu, berkesan dan responsif terhadap cabaran masa depan.
Untuk itu, KPM akan diberikan tanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal selia pendidikan dari peringkat prasekolah hingga menengah, manakala pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi akan diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Langkah ini bertujuan memperjelas bidang kuasa kedua-dua kementerian dan pada masa sama meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan melaksanakan kajian semula terhadap waktu persekolahan optimum, menilai keberkesanan sekolah khusus serta menambah baik model pendidikan untuk murid pintar cerdas dan berbakat.
Bagi menjamin hala tuju pendidikan nasional kekal seiring aspirasi masa depan, Majlis Pendidikan Negara turut ditubuhkan untuk menyelaras, memantau serta merangka tindakan intervensi yang bersesuaian.
Di peringkat pendidikan tinggi pula, beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan projek rintis pemberian autonomi kepada universiti awam terpilih bagi memperkukuh tadbir urus institusi pengajian tinggi, selain mempergiat pengantarabangsaan institusi untuk meningkatkan daya saing di peringkat global.
Pada masa sama, Anwar berkata, latihan dan peningkatan kemahiran secara berterusan untuk guru akan diteruskan bagi memperkukuh kompetensi dan profesionalisme tenaga pengajar.
Mekanisme pengambilan guru daripada pelbagai sumber secara terbuka juga akan ditambah baik bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak, berpotensi dan mempunyai komitmen tinggi terhadap dunia pendidikan diberi peluang.
“Kita tidak mahu sekadar menjadi jaguh kampung yang hebat di gelanggang sendiri, tetapi tenggelam di pentas dunia,” tegas Anwar.