
Hebat! Kanak-kanak 6 tahun cipta rekod MBR kerana daya ingatan luar biasa
Pada usia baru mencecah enam tahun, seorang kanak-kanak lelaki berjaya mencipta sejarah dengan kepintaran luar biasanya mengenal pasti 65 mata wang pelbagai negara dalam satu minit.
Kebolehan unik itu menyaksikan nama D Devakshean diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR) untuk pencapaian 'Mata Wang Asing Terbanyak Dikenal Pasti oleh Seorang Kanak-Kanak dalam Satu Minit.'
Ibunya, G Devamalar, 37, yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, Devakshean mula menunjukkan minat terhadap bendera negara sejak berusia setahun apabila boleh mengenal pasti dan menyebut bendera Malaysia dengan tepat.
"Sejak dia kecil, memang nampak kebolehan luar biasanya. Apabila tunjuk gambar atau bendera, dia cepat ingat. Daripada situ, kami mula melatihnya dan pada usia dua tahun, dia mencipta rekod dengan mengenal pasti lebih 200 negara serta bandar.
"Daya ingatannya memang luar biasa. Apa saja kami tunjuk, dia boleh ingat bukan hanya bendera dan nilai mata wang asing tetapi juga banyak lagi. Dia boleh 'tangkap' dengan cepat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan sijil penghargaan untuk pengiktirafan itu daripada wakil MBR, V Menaga, kepada Devakshean.
Devamalar berkata, beliau bersama suami, A Devakumaran, 41, sentiasa menyokong segala perkembangan dan minat anak tunggal mereka itu, di samping mengambil masa sebulan sebagai persediaan melatih Devakshean sebelum memohon untuk MBR pada tahun ini.
"Anak saya suka tengok YouTube. Justeru, kami muat naik bahan-bahan seperti senarai mata wang asing dan sebagainya ke YouTube dan dia belajar sendiri melalui platform itu.
"Dia jarang bermain. Dia suka membaca buku dan belajar sendiri. Itu memang tabiatnya, kami tidak pernah paksa...itu memang minat dia," katanya.
Devamalar turut berharap pencapaian luar biasa anaknya itu dapat membuka lebih banyak peluang lain termasuk menyertai Guinness World Records, serta melihat potensi lain yang boleh dikembangkan pada masa akan datang.
"Sekarang, orang ramai belum kenal dia. Saya berharap melalui hebahan media ini, lebih ramai tahu mengenai dia dan dia dapat peluang ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Dalam pada itu, Devakshean yang dilahirkan pada 10 September 2019 pula berkata, dia sangat menyukai bendera Malaysia serta subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains, selain bercita-cita menjadi seorang anggota bomba. - Bernama