Baru-baru ini, warganet hangat membicarakan tentang trend majlis graduasi murid yang dikatakan agak berlebihan dan keterlaluan kerana diadakan di hotel mewah berbanding di sekolah. Gambar kecil dari kiri: Rebecca, Nur Nisa Nasuha, Tan Kah Wei, Normah.
Baru-baru ini, warganet hangat membicarakan tentang trend majlis graduasi murid yang dikatakan agak berlebihan dan keterlaluan kerana diadakan di hotel mewah berbanding di sekolah. Gambar kecil dari kiri: Rebecca, Nur Nisa Nasuha, Tan Kah Wei, Normah.

Wajarkah graduasi sekolah di hotel?

NOR SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA
02 Feb 2024 10:04am
A
A
A

Baru-baru ini, warganet hangat membicarakan tentang trend majlis graduasi murid yang dikatakan agak berlebihan dan keterlaluan kerana diadakan di hotel mewah berbanding di sekolah.

Isu itu masih berlegar di media sosial hingga kini dengan pelbagai pendapat dan hujah yang disuarakan.

Pihak sekolah didakwa membuat keputusan tanpa mengira keadaan kewangan ibu bapa dan ada pendapat mengatakan penganjuran majlis graduasi di hotel mewah bukannya keperluan, selain menyifatkannya sebagai satu pembaziran.

Dalam pada itu, terdapat pihak yang menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya memansuhkan ritual konvokesyen kerana ia bukan satu kewajipan dan jika mahu diadakan juga, cukuplah berlangsung di sekolah sahaja.

Pihak sekolah khususnya Unit Bimbingan dan Kaunseling diminta menjadi perantara dalam memaklumkan kepada pentadbir supaya tidak menjadikan hari graduasi sebagai acara tahunan.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan Sinar Harian, pelbagai maklum balas yang diterima berhubung penganjuran majlis graduasi murid di hotel.

Ada yang bersetuju, ada juga yang tidak bersetuju.

Masing-masing memberikan pendapat mereka dan tampil dengan hujah-hujah tersendiri.

Artikel Berkaitan:

Positif

Melihat kepada keadaan dan keperluan semasa, saya berpandangan bahawa tidak menjadi satu kesalahan jika ibu bapa mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk meraikan hari tamat persekolahan anak-anak mereka.

Saya berpandangan, keputusan atau langkah pihak sekolah untuk mengadakan majlis graduasi di hotel adalah satu inisiatif tepat untuk meraikan murid-murid yang tamat belajar.

Ini kerana, acara yang berlangsung di hotel itu akan melahirkan perasaan bangga dan gembira dalam kalangan mereka.

Menerusi majlis sedemikian, murid-murid akan berasa bahawa pihak sekolah dan ibu bapa mengiktiraf pencapaian akademik serta kerja keras mereka sepanjang sesi pembelajaran berlangsung.

Bukan itu sahaja, kita juga perlu memahami bahawa murid-murid juga mahu mencipta satu kenangan bersama rakan-rakan dan guru menerusi satu majlis graduasi yang diatur dengan baik.

- Pengurus pusat beli-belah, Tan Kah Wei, 25.

Tidak dapat dinafikan bahawa majlis graduasi murid sekolah yang diadakan di hotel khususnya yang bertaraf lima bintang memerlukan perbelanjaan yang besar tetapi secara tidak langsung ia juga dapat memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang dunia luar.

Memandangkan murid-murid ini akan memasuki alam dewasa kelak, maka wajar untuk mereka merasai pengalaman baharu seperti diraikan sempena tamat belajar di hotel.

Pengalaman berada di tempat mewah akan membangkitkan satu perasaan dan motivasi untuk murid-murid belajar serta bekerja bersungguh-sungguh demi menikmati kehidupan yang selesa apabila dewasa nanti.

Saya juga berpandangan, murid-murid yang telah bertungkus lumus belajar dan memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang serta membanggakan, wajar untuk diberikan ganjaran.

Untuk mengelakkan berlaku penindasan terhadap ibu bapa kurang berkemampuan yang terpaksa menanggung kos diperlukan untuk anak mereka menghadiri majlis graduasi, saya menyarankan pihak sekolah mengadakan program kutipan derma.

Pada masa sama, saya juga ingin mengingatkan bahawa murid-murid juga perlu memainkan peranan dengan mengumpul sedikit wang perbelanjaan harian untuk meringankan beban ibu bapa.

- Pemain dhol, Rebecca Joseph, 26.

Negatif

Sebagai seorang ibu, saya berpandangan bahawa mengadakan majlis graduasi di hotel bertaraf lima bintang pada setiap tahun sebenarnya agak membebankan.

Ini kerana, ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mencecah ratusan ringgit semata-mata untuk memenuhi kehendak pihak sekolah yang mahu meraikan tamatnya pembelajaran murid-murid di hotel ternama.

Pihak sekolah khususnya pentadbir tidak sepatutnya mengadakan majlis graduasi di tempat mewah semata-mata untuk dipandang tinggi dan dijadikan ikutan oleh sekolah lain.

Tidak semua ibu bapa mempunyai wang yang cukup untuk membayar kos menghadiri majlis tersebut.

Jika difikirkan semula, kos yang mencecah ratusan ringgit itu sebenarnya mampu menampung perbelanjaan isi rumah dalam tempoh seminggu.

Bukan itu sahaja, guru-guru juga perlu memikirkan nasib murid-murid lain yang tidak dapat mengikuti acara berkenaan kerana ibu bapanya tidak cukup wang.

Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak hilang motivasi dan pada masa sama menimbulkan konflik atau perasaan tidak senang di antara mereka dan ibu bapa.

- Suri rumah, Normah Jaafar, 61.

Pada pendapat saya, pihak sekolah boleh menganjurkan majlis graduasi tetapi cukup sekadar mengadakannya di sekolah bagi membolehkan semua murid-murid terlibat.

Jika pihak sekolah mengambil pendekatan untuk mengadakan di hotel, ia secara tidak langsung membebankan ibu bapa kerana terpaksa mengeluarkan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk memenuhi keinginan anak-anak.

Ibu bapa pasti perlu berbelanja lebih kerana selain kos hotel, sudah tentu anak-anak memerlukan persalinan baharu untuk menghadiri majlis graduasinya.

Bagi saya, sekiranya pihak sekolah tetap dengan pendirian untuk melaksanakan majlis graduasi di hotel, ia akan menimbulkan masalah di antara ibu bapa dan anak-anak jika tidak dapat menyertai acara itu.

Anak-anak pasti akan berkecil hati dan beranggapan bahawa ibu bapa tidak ambil peduli selain berasa terpinggir dengan rakan-rakan lain yang mampu menghadiri majlis graduasi.

Jadi saya fikir, pihak sekolah perlu meneliti semula keputusan untuk mengadakan majlis graduasi sekolah supaya tidak membebankan ibu bapa dan memastikan semua murid dapat menghadirinya.

- Suri rumah, Nur Nisa Nasuha Abi Hussaini, 25.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok