Norliza (tengah) menyerahkan replika kad WPP berjumlah RM1,500 kepada salah seorang pelajar. Foto: PTPTN
Norliza (tengah) menyerahkan replika kad WPP berjumlah RM1,500 kepada salah seorang pelajar. Foto: PTPTN

Wang Pendahuluan Pinjaman beri manfaat 34,346 pelajar baru IPTA, politeknik

19 Jul 2024 09:15am

Seramai 34,346 pelajar diploma yang meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik bagi sesi Julai ini telah ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 seorang melibatkan peruntukan RM51.5 juta oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, inisiatif tersebut bagi membantu ibu bapa dan pelajar yang layak bagi menampung sebahagian perbelanjaan mereka untuk melakukan persiapan awal.

"Kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT kerana memerlukan sumber kewangan yang tinggi.

“Di Pulau Pinang sebanyak 1,434 pelajar ditawarkan WPP dengan peruntukan berjumlah RM2.2 juta, dengan kawasan Bukit Gelugor sahaja terdapat 82 pelajar ditawarkan wang pendahuluan ini melibatkan peruntukan RM123,000," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikan wang pendahuluan itu di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara dengan membawa surat tawaran serta MyKad.

Norliza berkata, wakil tidak dibenarkan untuk menunaikan WPP tersebut dan tempoh sah laku inisiatif itu ialah selama dua bulan hingga 17 September 2024.

No Image Caption

"Setiap pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang telah ditetapkan bagi setiap IPTA dan politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses serta diluluskan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN," katanya.

Jelasnya pelajar juga boleh merujuk kepada Bahagian Hal EhwalPelajar IPTA dan politeknik masing-masing atau terusmenghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima bantuan itu semasa membuat permohonan kemasukan IPTA dan politeknik melalui ‘UPUOnline’ atau portal kemasukan IPTA.

Selain itu, ia juga diberikan berdasarkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah(STR) serta memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.

Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 30 Jun lepas, seramai 980,107 pelajar telah menerima manfaat tersebut dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai WPP PTPTN serta pinjaman PTPTN melalui aplikasi myPTPTN. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp