Untitled
Untitled

Wujudkan persekitaran sekolah selamat, semua pihak perlu mainkan peranan

Nor Azma  Muhamat Laila
02 Dec 2021 10:52am
A
A
A

Pada 2002, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melancarkan Program Sekolah Selamat bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua warganya termasuklah murid-murid, guru-guru, pentadbir dan kakitangan sekolah.

Ia juga diharap dapat membuatkan warga sekolah merasa selamat untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kegiatan kokurikulum tanpa gangguan daripada mana-mana pihak sama ada dari luar mahu pun dalam sekolah itu sendiri.

Aspirasi Sekolah Selamat ini pula ialah untuk menjadikan sekolah sebagai tempat di mana perbezaan budaya dan nilai setiap individu atau kumpulan dihargai oleh semua pihak, di samping amalan menjaga keselamatan dijadikan budaya dalam kehidupan seharian.

Kejadian kemalangan melibatkan pelajar sama ada di dalam atau luar pagar sekolah turut mengundang persoalan sejauh mana aspek keselamatan dititikberatkan oleh semua pihak bertanggungjawab sekali gus memastikan perkara sama tidak berulang.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kejadian seorang murid dilanggar bas sekolah di hadapan rumah transit yang turut menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat mengenai aspek keselamatan murid sekolah ketika menggunakan pengangkutan berkenaan.

Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Jitra, Kedah, Ahmad Syamil Abdul Rahim berkata, usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah guru-guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Tanggungjawab pihak sekolah

Menurut beliau, pihak sekolah bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar-pelajar ketika mereka berada di dalam sekolah manakala kawasan luar pagar tidak dikira sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sekolah.

“Meskipun begitu, pihak pengurusan dan keselamatan di sekolah mengambil inisiatif menjaga keselamatan pelajar menerusi kehadiran pengawal keselamatan sepanjang masa di pintu masuk atau keluar sekolah.

“Semua guru juga sentiasa diingatkan supaya peka dengan keselamatan murid dan memastikan ia berada pada tahap maksimum bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku sepanjang sesi persekolahan berlangsung,” katanya kepada GPSBestari ketika dihubungi, baru-baru ini.

Mengulas mengenai keselamatan pelajar ketika naik atau turun dari bas sekolah, Ahmad Syamil berkata, perkara itu menjadi tanggungjawab pengusaha bas untuk memastikan setiap pelajar pergi dan pulang dari sekolah dengan selamat.

“Ini kerana pihak sekolah hanya mengawal bermula masuk pintu pagar. Namun begitu, tanggungjawab ini boleh dikongsikan dengan pengawal keselamatan sekolah bagi memastikan proses pergerakan pelajar berjalan lancar.

“Oleh itu, saya tegaskan bahawa usaha mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat memerlukan kerjasama daripada semua pihak kerana ia bukan saja membabitkan kawasan dalam sekolah tetapi juga persekitaran yang berhampiran,” ujarnya.

Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Jitra, Kedah, Ahmad Syamil Abdul Rahim.

Sementara itu, suri rumah kepada tiga orang anak yang menggunakan perkhidmatan bas untuk pergi dan balik dari sekolah, Haryani Ngah, 46, berkata ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak-anak.

“Setiap kali anak-anak hendak menaiki bas sekolah, saya akan tunggu bas sampai sehinggalah mereka bertolak kerana khuatir dengan keselamatan ketika menggunakan pengangkutan berkenaan.

“Begitu juga ketika mereka pulang dari sekolah. Memandangkan saya tidak bekerja, lebih mudah untuk memantau anak-anak tetapi bagi ibu bapa yang bekerja, mungkin agak sukar sehingga terpaksa melepaskan tanggungjawab itu kepada pengusaha tadika, rumah transit atau pemandu bas sekolah itu sendiri.

Haryani Ngah.

“Dalam hal ini, saya sarankan supaya pengusaha bas sekolah tidak terburu-buru untuk mengejar trip sebaliknya bersabar dan ambil sedikit masa untuk memastikan pelajar betul-betul sudah turun atau naik dengan selamat,” jelasnya.

Pastikan keselamatan pelajar

Pengusaha bas sekolah di Pasir Gudang, Johor, Aman Fadhli Azmi turut bersetuju bahawa setiap pengusaha bas memainkan peranan besar dalam memastikan keselamatan pelajar ketika naik, turun dan berada di dalam kenderaan mereka.

Ujar beliau, selain memastikan bas sekolah selamat dipandu dan selesa, pengusaha juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengendalian bas sekolah dan murid.

“Kerajaan turut menetapkan beberapa peraturan yang perlu pengusaha bas sekolah patuhi termasuklah diwajibkan mengambil lesen PSV, memohon permit bas sekolah, berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan mengikuti latihan I-Cop Keselamatan yang dikendalikan APAD.

Aman Fadhli Azmi.

“Adalah penting untuk pengusaha bas sekolah memastikan setiap pelajar sampai ke sekolah dengan selamat tetapi tanggungjawab itu juga turut terletak di bahu ibu bapa dan pihak sekolah supaya semua dapat bekerjasama dalam memastikan keselamatan anak-anak,” jelasnya.

Bagi ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah, Aman Fadhli menyarankan supaya mereka memilih pengusaha yang berdaftar dengan APAD dan mematuhi setiap prosedur serta peraturan yang ditetapkan dalam mengendalikan pelajar ketika menaiki bas sekolah.

“Bagi pihak sekolah, taska atau transit pula, mereka seharusnya menyediakan ruang yang sesuai untuk parkir bas sekolah dan dalam masa yang sama boleh mengupah pengawal keselamatan untuk memastikan kawasan sekolah selamat terutama untuk murid-murid yang pergi dan balik menggunakan bas sekolah,” tuturnya.

Tip keselamatan bas sekolah

Elakkan berdiri di bahagian depan atau belakang bas sekolah. Ini antara titik buta di mana pemandu tidak nampak jika ada sesiapa di kawasan itu.Jangan terus berlari ke arah bas sekolah atau semasa bas sekolah sedang bergerak untuk parkir.

Tulis nombor plat bas sekolah, nama pemandu dan nombor telefon bagi memudahkan anak mencari bas sekolah yang dinaiki.

Pastikan anak-anak tidak meninggalkan barang-barang di dalam bas sekolah. Jika tertinggal, pesan kepada mereka supaya jangan kembali mengejar bas yang sudah bergerak kerana akan mengundang bahaya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok