190821-yayasan petronas
190821-yayasan petronas

Yayasan Petronas sumbang 914 alat peranti kepada pelajar di Kelantan

webadmin
19 Aug 2021 01:37pm
A
A
A

KOTA BHARU - Petronas melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya, Yayasan Petronas menyumbang sebanyak 914 alat peranti untuk diagihkan kepada pelajar di beberapa sekolah terpilih di Kelantan, di bawah Program CERDIK.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Rahman berkata, sumbangan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Negeri Kelantan itu, meliputi kemudahan data internet, kemudahan penyelenggaraan peralatan, jaminan dan sokongan teknikal selama tiga tahun sesi akademik.

“Berdasarkan kajian oleh Kementerian Pendidikan, sebanyak 37 peratus pelajar di negara ini  tidak mempunyai kelengkapan sesuai untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

“Jadi, melalui sumbangan peranti dan perkhidmatan internet ini diharap dapat membantu mengatasi jurang digital tersebut dan pelajar dapat mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata, kesemua peranti tersebut diagihkan kepada 175 pelajar sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu; 171 pelajar SMK Long Yunus, Bachok; 158 pelajar SMK Machang, SMK Tengku Indra Petra, Gua Musang (152 pelajar); SMK Keroh, Kuala Krai (126 pelajar); SMK Kuala Balah (68 pelajar); dan 64 pelajar SMK Batu Melintang di Jeli.

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada peruntukan RM30 juta oleh Yayasan Petronas di bawah Program CERDIK melibatkan 12,000 pelajar di seluruh negara,” kata Che Ahmad Tarmizi.

Program CERDIK merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi menyediakan akses pendidikan digital. - BERNAMA

 

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok