YB Fadhlina terharu sektor pendidikan terima peruntukan terbanyak Belanjawan 2025
Sektor pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 disifatkan sebagai memenuhi keperluan semua segmen pelajar dan mampu mengangkat martabat rakyat melalui pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, komitmen besar daripada kerajaan itu adalah inklusif yang bermaksud tiada anak-anak yang akan terpinggir serta semua segmen pelajar mendapat manfaat daripada peruntukan itu.
"Pengumuman itu telah memberikan kita satu dimensi sangat besar. Pertamanya, soal komitmen pendidikan yang mesti diterajui dengan lebih cekap kerana melibatkan peruntukan besar. Kedua, adalah segmen inklusif yang bermaksud anak-anak kita ini tiada yang terpinggir.
"Kita lihat melalui pengumuman semalam, semua segmen anak-anak kita mendapat manfaat yang cukup besar daripada sekolah-sekolah baharu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA'2024) di sebuah pusat beli-belah Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu, Fadhlina di laman sosial Facebooknya turut melakarkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kongsi Fadhlina, keprihatinan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM64.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah cerminan iltizam untuk memastikan kejayaan agenda Reformasi Pendidikan yang sedang giat berjalan.
"Pendidikan adalah asas penting untuk mengangkat martabat hidup rakyat dan bagi membangunkan Malaysia MADANI yang mampan dan berdaya saing," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, semalam mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah diberi peruntukan tertinggi sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu antara lain bagi projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara, pembinaan sekolah baharu, bantuan pendidikan serta bantuan awal persekolahan.
Selain itu, sebanyak 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, Fadhlina berkata, KPM menggalas amanah besar dalam memastikan peruntukan Belanjawan 2025 dapat memberi impak positif kepada Reformasi Pendidikan yang sedang berjalan ketika ini.