Fadhlina (tengah) bersuafoto bersama para pelajar sewaktu menghadiri Anugerah SPM Terbaik 2023 pada Majlis Pemahsyuran SMK Tengku Sarafudin Badlishah dan Anugerah Kecemerlangan 2024 Sabtu lalu.
Fadhlina (tengah) bersuafoto bersama para pelajar sewaktu menghadiri Anugerah SPM Terbaik 2023 pada Majlis Pemahsyuran SMK Tengku Sarafudin Badlishah dan Anugerah Kecemerlangan 2024 Sabtu lalu.

'YB, mak saya kirim salam.' Fadhlina terharu dengan sikap pelajar

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
14 Oct 2024 07:10pm

"YB (Yang Berhormat), mak saya kirim salam."

Itu adalah sapaan ringkas dan mesra salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Sarafudin Badlishah, Kulim, Kedah pada Sabtu.

Kehadiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di sekolah itu adalah bagi mengiringi Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan meraikan majlis Pemahsyuran SMK Tengku Sarafudin Badlishah dan Anugerah Kecemerlangan 2024.

Menurut Fadhlina, kiriman salam oleh salah seorang pelajar itu menimbulkan rasa bangganya kerana ia gambaran didikan ibu bapa kepada anak-anak mereka.

"Terima kasih kepada puan-puan dan tuan-tuan yang mendidik anak-anak dengan adab baik serta berkirim salam kepada Menteri Pendidikan. Ia sangat membahagiakan," katanya dalam perkongsian di laman sosial Facebooknya pada Ahad.

No Image Caption

Dalam perkongsian itu, Fadhlina meluahkan rasa gembira beliau dengan pencapaian pelajar SMK Tengku Sarafudin Badlishah.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, saya menzahirkan setinggi-tinggi junjungan kasih di atas perkenan Tengku Sarafudin Badlishah yang mencemar duli mengisytiharkan nama baharu SMK Taman Jelutong kepada SMK Tengku Sarafudin Badlishah dan menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan 2024 pada Sabtu.

"Sejak penubuhannya pada tahun 2004, SMK Tengku Sarafudin Badlishah telah mencatat pelbagai kejayaan dalam bidang akademik, kesenian dan sukan. Selain mencatat keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, kumpulan nasyid Zayyan dan pasukan sofbal sekolah turut cemerlang di peringkat kebangsaan.

"Pelbagai kejayaan lain turut dicatatkan sekolah ini di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Saya mendoakan SMKTSB terus cemerlang khususnya mengangkat Generasi Madani yang terus memartabatkan karamah insaniyyah dalam aspek pendidikan manusiawi," kongsi Menteri Pendidikan itu.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp