Fadhlina pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama
Fadhlina pada Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. - Foto Bernama

Yuran PIBG: KPM terus pantau elak bebankan ibu bapa

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
04 Apr 2023 02:25pm

Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau dan memastikan sekolah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan melibatkan caj yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar tidak membebankan golongan ibu bapa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM melalui Surat Pemakluman Sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru pada 15 September 2021 telah memberi peringatan kepada sekolah supaya tidak mengenakan bayaran tambahan dalam sumbangan PIBG selain menyarankan untuk mematuhi garis panduan yang telah disediakan.

“Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa Guru) 1998 membenarkan PIBG untuk mengutip setiap sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota yang terlibat.

“Keputusan itu juga hendaklah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri yang merupakan Pendaftar Negeri.

“Dalam hal ini, Surat Siaran KPM Bilangan 4 Tahun 2011 Garis Panduan Kutipan/Bayaran Keperluan Persekolahan Di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan adalah berkaitan sebagai rujukan pihak sekolah,” ujarnya ketika sesi soal jawab bagi jawapan lisan di Dewan Negara pada Isnin.

Fadhlina juga mencadangkan supaya ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG yang dianjurkan sekolah bagi mendapatkan maklumat serta justifikasi melibatkan caj yuran berkenaan.

“Sekiranya terdapat aduan haruslah dikemukakan mengikut aturan dan proses.

“Dan KPM juga akan mengenal pasti serta akan turun bersama pendaftar negeri iaitu Pengarah JPN untuk memastikan pembetulan itu dibuat sama ada melalui mesyuarat ataupun ditetapkan oleh mana-mana peraturan lain di bawah pendaftaran negeri,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp