

Integriti pemangkin mahasiswa IPMa jadi suri teladan antirasuah
Agenda integriti perlu dijadikan asas dalam kehidupan mahasiswa Institut Pendidikan MARA (IPMa) demi membentuk generasi role model yang membenci amalan rasuah dan berpegang teguh kepada nilai murni.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Ir Dr Mahzan Teh menegaskan, nilai integriti harus dipupuk secara konsisten menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi dan kolaborasi strategik antara Unit Integriti MARA dan Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPMa 2025 Siri 1 yang berlangsung di Pusat Kepimpinan Pelajar MARA (Puskep), Lenggong, Perak, melibatkan 100 mahasiswa dari 14 institusi IPMa seluruh negara.
“Integriti bermaksud melakukan perkara yang betul dengan cara yang betul, walaupun tiada siapa melihat. Ia adalah asas penting kepada pembentukan sahsiah mahasiswa sebagai bakal pemimpin negara,” ujar beliau.

Beliau berkata lagi, Kem AMAR IPMa menjadi platform penting untuk mahasiswa melontarkan pandangan, memahami isu rasuah dan mendalami nilai antirasuah secara lebih menyeluruh.
Dr Mahzan turut menekankan bahawa usaha ini tidak akan berjaya tanpa kerjasama pelbagai pihak dan MARA komited untuk terus memperkasa agenda integriti dalam kalangan mahasiswa.
Sebagai rekod, lebih 60,000 graduan dilahirkan MARA setiap tahun dari pelbagai institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Turut hadir, Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed dan Ketua Unit Integriti Mara, Shuhaimi Man.