Fadhlina (tengah) hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Rumah Maahad Alumni Maktab Mahmud pada Sabtu.
Fadhlina (tengah) hadir pada Majlis Perasmian Bangunan Rumah Maahad Alumni Maktab Mahmud pada Sabtu.

Maktab Mahmud terus jadi pemacu lahir generasi ulama, umara - Fadhlina

Maktab Mahmud, Kedah menerima sumbangan keseluruhan sebanyak RM400,000 daripada kerajaan Persekutuan bagi terus memperkukuhkan pelaksanaan program pendidikan Islam dalam kalangan pelajarnya.

Sumbangan tersebut diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Rumah Maahad Alumni Maktab Mahmud di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sebanyak RM300,000 disumbangkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala RM100,000 lagi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sumbangan yang diberikan ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah.

"Kita komited dalam melaksanakan semua agenda pendidikan dan pembangunan Islam.

"Saya ucapkan tahniah kepada Maktab Mahmud dan alumninya yang saya fikir antara yang terkuat, di sebuah sekolah yang begitu berprestij serta mempunyai reputasi cemerlang dalam melaksanakan pelbagai program dan meningkatkan kualiti pendidikan," katanya dalam ucapan perasmian.

Hadir sama Exco Pendidikan Kedah, Datuk Mohd Azam Abd Samat dan Pengerusi Persatuan Alumni Maktab Mahmud, Datuk Dr Zulkifly Mohamad.

Fadhlina turut mengimbas hubungan sentimental Perdana Menteri dengan institusi tersebut, apabila beliau pernah melakukan lawatan ke Maktab Mahmud kira-kira 40 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Perdana Menteri sentiasa melihat Maktab Mahmud sebagai institusi penting dalam melahirkan generasi ulama dan umara.

"Perdana Menteri cukup sentimental dengan Maktab Mahmud. Ketika saya maklumkan ada permohonan daripada sekolah ini, beliau sendiri mahu hadir, tetapi apabila tidak dapat hadir, maka saya datang untuk menyampaikan mesej beliau.

"Saya minta Maktab Mahmud terus mengekalkan peranan dalam melahirkan lebih ramai ulama, yang menjadi antara hala tuju Bahagian Pendidikan Islam, KPM," ujarnya.

Tambah beliau, pengurusan Maktab Mahmud diharapkan dapat mengekalkan pencapaian cemerlang pelajarnya seperti yang ditunjukkan dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada Khamis lalu.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Kedah kerana mencapai keputusan cukup baik dalam SPM yang diumumkan dan sebahagian sekolah di negara ini yang mencapai keputusan cemerlang adalah Kedah.

"Saya ambil maklum bahawa pelajar Maktab Mahmud juga sentiasa menjadi antara penyumbang kepada Gred Purata Negeri yang sangat baik," katanya lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp