WhatsApp Image 2022-08-18 at 2.54.03 PM
WhatsApp Image 2022-08-18 at 2.54.03 PM

Akhirnya, Ammar dapat juga 2 helai seluar baharu. Terima kasih cikgu untuk kejutan ini!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
18 Aug 2022 02:56pm

Kisah ‘Kerana Ammar, sekumpulan guru sanggup kumpul duit dan jahit seluar sekolah. Warga maya sebak!’yang disiarkan Sinar Bestari baru-baru ini mendapat perhatian yang luar biasa dalam kalangan netizen.

Masing-masing bersimpati dengan nasib yang menimpa Ammar hingga ada sesetengahnya mahu membelikan seluar sekolah yang baharu buat murid Tahun Enam tersebut.

Tidak kurang juga, ramai warganet menitipkan doa kepada Ammar agar seluruh kehidupannya dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempada 2, Pahang, Cikgu Huzaire Ahmad telah menghubungi wartawan, Roshlawaty Raieh bagi berkongsi mengenai perkembangan Ammar buat masa ini.

Katanya, Ammar sudah pun memiliki dua helai seluar sekolah yang baharu hasil sumbangan guru-guru dari sekolah berkenaan.

Ujarnya lagi, Ammar cukup seronok apabila menerima seluar tersebut.

“Senyumannya pula tak pernah lekang dari bibir Ammar. Kami pula sebak,” kata Cikgu Huzaire kepada wartawan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Ammar dan seluar baharunya, mari ikuti perkongsian Cikgu Huzaire dalam artikel dibawah.

*****

Alhamdulillah syukur, impian kami (guru-guru SK Felda Mempada 2) untuk menghadiahkan dua helai seluar kepada Ammar tercapai juga.

Jujurnya, ketika menerima seluar itu, Ammar kelihatan terkejut. Ini kerana, dia tidak tahu yang kami mahu menghadiahkannya seluar pada hari berkenaan.

Berkali-kali Ammar ucapkan terima kasih kepada kami kerana telah merealisasikan apa yang dia mahu selama ini.

Allahu, kumpulan guru yang ada pada waktu itu, hampir menangis apabila melihat kegembiraan Ammar mendapat seluar sekolah.

Sewaktu Ammar membelek-belek seluar itu, kami meminta untuk dia mencubanya. Dengan hati gembira, Ammar mengambil dan terus memakai seluar di bilik belakang.

Beberapa minit kemudian, Ammar keluar dan rakan-rakan mula bertepuk tangan. Masing-masing memuji Ammar dan berharap agar dia tidak lagi berasa rendah diri seperti sebelum ini.

Melihatkan kegembiraan Ammar ketika itu, saya mula bertanyakan pada Ammar tentang cita-citanya kelak.

Kata Ammar, dia mahu menjadi seorang guru dan mahu membantu anak-anak murid yang dalam kesusahan sama seperti apa yang saya dan rakan-rakan lakukan.

Bila mendengarkan cita-cita Ammar itu, saya hilang kata-kata. Tidak sangka pada usia semuda itu, Ammar sudah memasang impian yang sangat murni pada kaca mata saya, seorang guru.

Ya ALLAH, kau makbulkanlah doa Ammar ini, Aamiin.

Artikel berkaitan 

Kerana Ammar, sekumpulan guru sanggup kumpul duit dan jahit seluar sekolah. Warga maya sebak! 

Sering dihina dan dipandang rendah, Ammar kini bergelar graduan University of Manchester 

Rutin hafal al-Quran jadi pedoman hidup pelajar PhD di West Virginia University 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp