Sertai pertandingan menulis esei, ini 6 kelebihannya bagi pelajar sekolah
Pertandingan menulis esei dalam kalangan pelajar sekolah tidak asing lagi dalam dunia pendidikan di negara kita. Ia dianjurkan di sekolah-sekolah terutamanya pada minggu bahasa.
Secara umum, kebanyakan guru gemar menjadikannya sebagai aktiviti wajib bagi mengisi tentatif program.
Baca juga
Menulis lebih baik daripada menaip, pelajar perlu tahu 6 kebaikannya
Tip menulis entri blog pendidikan, guru-guru wajib hadam perkongsian ini
Justeru, Sinar Bestari ingin berkongsi enam kelebihan sayembara menulis dalam kalangan pelajar sekolah.
#1. Mengasah kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
Tidak dinafikan, penulisan yang baik dapat diasah jika pelajar sering membuat latihan.
Semakin tinggi kekerapan menulis, maka, semakin sempurna tatabahasa mereka dari hari ke hari.
Secara tidak langsung, rutin ini dapat membentuk kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.
#2. Peka dengan perkembangan semasa
Pelajar yang suka melibatkan diri dalam pertandingan menulis esei sememangnya seorang yang mudah peka dengan perkembangan semasa.
Mereka berbuat demikian kerana mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi.
Apabila mereka menulis, peserta akan tekun menyiapkan karangan mengikut masa lapang yang diluangkan sebelum tarikh tutup penyertaan.
Hasilnya, pelajar jadi lebih mahir mengenai satu-satu tema ilmu tertentu.
#3. Pemenang dapat hadiah
Penyertaan pelajar dalam pertandingan menulis esei dapat membantu mereka mengurangkan beban belanja persekolahan.
Ini disebabkan rata-rata penganjur cenderung memberikan hadiah berupa wang tunai sebagai ganjaran kepada mereka.
Pemberian tersebut dilihat dapat mendorong pelajar lebih bermotivasi ketika belajar di sekolah.
Selain itu, pelajar yang menjadi pemenang pertandingan berkenaan selalunya akan mendapat sijil penghargaan.
Sijil itu dapat dijadikan portfolio terutamanya jika mereka ingin menjadi penulis atau wartawan kelak.
#4. Mendapat keputusan cemerlang
Peserta sayembara menulis kebiasaannya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang berbentuk bahasa. Contohnya, subjek Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.
Oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang penulisan menyebabkan mereka cenderung menyertai program tersebut.
Selain itu, guru-guru panitia bahasa yang menjadi orang kuat menggalakkan mereka menjadi salah seorang peserta.
#5. Persaingan secara sihat
Penganjuran sayembara sebegini mampu membentuk persaingan secara sihat dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketika menulis, mereka boleh bertukar-tukar idea menulis bukan untuk meniru tetapi bagi mengelakkan persamaan inti pati karangan.
Dari situ, pelajar akan berlumba-lumba menghasilkan karangan terbaik dan cemerlang.
#6. Merit mempromosikan diri
Pertandingan menulis boleh menjadi merit kepada pelajar untuk memasarkan diri kepada pihak penganjur terutamanya apabila diumumkan mendapat tempat pertama.
Kebiasaannya, johan program mempunyai angan-angan untuk mengeluarkan manuskrip.
Jadi, melalui kemenangan ini peserta mempunyai potensi besar bagi menerbitkan naskhah penulisan sendiri.
Tuntasnya, Sinar Bestari berharap pelajar sekolah dapat menceburkan diri dalam aktiviti penulisan yang dipertandingkan di sekolah.