Aplikasi TikTok bukan sekadar hiburan, gunakan sebagai alat persediaan pelajar hadapi dunia sebenar
Jika anda seorang pelajar dan sentiasa melayari laman media TikTok, anda pasti pernah mendengar ibu bapa berkata:
“Apakah TikTok ini dan mengapa ramai yang menyukainya?
"Mengapa membuang masa sedangkan banyak perkara lain yang boleh dipelajari secara dalam talian.
Pelajar sendiri boleh mengetahui betapa banyak ilmu pengetahuan yang boleh dipelajari menerusi aplikasi ini. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa di luar sana tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Mungkin sudah tiba waktunya untuk pelajar sendiri mendidik mereka tentang faedah dan kebaikan aplikasi TikTok dan bagaimana ia dijadikan sebagai satu daripada sumber pembelajaran pada hari ini.
Kali ini, Sinar Bestari akan kongsikan dengan pelajar semua tentang bagaimana TikTok boleh dijadikan sebagai alat pembelajaran sekali gus menyiapkan pelajar untuk menghadapi dunia sebenar.
1. Kemahiran videografi
Aplikasi ini membolehkan pelajar mempelajari semua perkara tentang penyuntingan video. Terdapat begitu banyak cara dan kaedah yang mudah boleh dipelajari untuk menghasilkan satu video yang bermanfaat kepada masyarakat.
2. Membina keyakinan
Tidak semua pelajar dilahirkan bertuah kerana mempunyai tahap keyakinan yang tinggi. Sesetengah daripada mereka sememangnya pemalu. Jadi, TikTok adalah salah satu platform yang boleh menggalak dan membantu pelajar untuk meningkatkan keyakinan diri dengan mempraktikkan kemahiran sebutan dan pertuturan di depan kamera. Ia menjadi sangat berguna terutamanya semasa pembentangan di sekolah, kolej dan dalam kerjaya masing-masing.
3. Melatih disiplin
Bagaimanakah TikTok melatih diri pelajar untuk berdisiplin? Pengguna TikTok akan merasa puas apabila karya yang dihasilkan dapat mencapai apa yang digambarkan oleh pengguna tersebut. Ia memerlukan usaha dan ketekunan yang tinggi bagi menghasilkan kualiti video yang boleh digunakan pada bidang dan aspek lain dalam kehidupan kita seperti kerja rumah, tugasan mahupun hobi.
4. Meneroka kreativiti
Pelajar dapat meneroka imaginasi dan menjadi kreatif dengan menghasilkan pelbagai idea berbeza untuk video di TikTok. Ini akan membantu pelajar dalam dunia sebenar terutamanya apabila ia berkaitan dengan profesion seperti pengiklanan, digital, media sosial dan sebagainya. Hal ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi ia juga memberi manfaat kepada guru di seluruh dunia kerana mereka telah menggunakan ciri videografi TikTok untuk membangunkan tugasan kreatif.
5. Mempelajari maklumat dan kemahiran penting
Kemahiran seperti memasak, menari, berlakon dan maklumat berguna seperti penjagaan kulit, matematik, bahasa dan budaya boleh dipelajari dengan mudah. Pelajar boleh melihat dan meneroka banyak tutorial di TikTok dan kebanyakannya juga cukup menghiburkan.
Segala kebaikan ini perlulah disertai dengan penggunaan yang betul dan selamat. Tidak dinafikan, TikTok adalah antara platform yang boleh mendatangkan pelbagai mudarat sekiranya tidak digunakan dengan panduan dan cara yang betul.
Semoga perkongsian kali ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar di luar sana untuk terus menggunakan platform media sosial bagi menimba ilmu dan seterusnya meningkatkan perkembangan diri pada masa akan datang.
Artikel berkaitan
Graduan cemerlang IKN promosi seni batik guna Tiktok
Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan 5 aplikasi mudah ini
Trend tayang keputusan SPM semua ‘G’ di TikTok, bukan satu kebanggaan