WhatsApp Image 2021-10-19 at 10.03.11 AM
WhatsApp Image 2021-10-19 at 10.03.11 AM

Fathullah, pemain muda bola sepak yang bakal harumkan nama negara

Roshlawaty Md Raieh
25 Oct 2021 04:45pm
A
A
A

Seawal usia 3 tahun, Muhammad Fathullah Mazlan, 16, telah didedahkan dengan dunia bola sepak oleh ayahnya, Mazlan Abdul Hamid, 50.

Hanya mempelajari kemahiran asas iaitu cara menendang bola dengan betul di awal pembabitannya, siapa sangka anak kelahiran Kampung Telaga Batu, Sungai Korok, Jitra, Kedah ini terpilih untuk bermain dengan Kelab Soccer Kids kendalian Rafdhi Rashid (bekas pemain bola sepak Kedah) ketika berumur 8 tahun dan seterusnya mewakili Kedah kategori bawah 17 tahun (B-17) pada usia sekarang.

Ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini, anak kedua daripada enam beradik ini berkata, perjalanannya dalam sukan bola sepak yang bermula ketika dibangku sekolah rendah, cukup lancar.

“Dari Tahun Satu hingga Enam, saya banyak mewakili sekolah dalam bola sepak dan sepanjang pembabitan beberapa anugerah berjaya dirangkul ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Muda, Kedah.

“Pastinya perasaan teruja dan seronok itu ada kerana ia berbaloi,” katanya.

Dek keaktifan dalam bola sepak, Fathullah diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (Tatar) iaitu sebuah Sekolah Sukan Negeri Kedah.

Saat itu, bermulalah kehidupan Fathullah sebagai seorang pelajar dan juga atlet bola sepak.

“Bukan senang untuk bahagi masa antara pelajaran dan sukan. Kadang-kadang penat juga, tapi hendak buat macam mana, semuanya kerana minat.

“Saya ingat lagi, semasa di Tingkatan Dua, saya putus asa dan tidak mahu bermain bola sepak lagi. Saya minta tukar sekolah.

“Ketika itu, ayah dan mak, Mazlina Othman, tidak henti-henti memberi kata-kata semangat untuk saya meneruskan minat.

Impian Fathullah adalah menjadi pemain professional dan seterusnya menyertai skuad kebangsaan kelak.

“Atas nasihat dan pujukan berkali-kali daripada mereka, akhirnya saya akur dan teruskan pembelajaran serta latihan di sekolah ini dengan harapan dapat membanggakan keluarga, jurulatih juga rakan-rakan dengan kejayaan luar biasa dalam sukan bola sepak ini,” jelasnya yang menjadikan Baddrol Bakhtiar sebagai idola.

Tip jadi pemain berjaya

Fathullah yang kini bermain B-17 Kedah berkata, ketika negara belum dilanda wabak Covid-19, jadual sebagai pelajar dan atlet berjalan dengan baik.

“Memandangkan SMK Tatar adalah sekolah berasrama, jadi saya menjalani kehidupan sebagai pelajar sama seperti orang lain.

“Cuma bezanya, saya perlu jalani latihan bola sepak setiap hari iaitu pada jam 4 petang hingga 7 petang. Malam pula, sesi mengulangkaji pelajaran bersama rakan,” tuturnya.

Namun begitu, sejak Covid-19, Fathullah mengikuti pembelajaran dan sesi latihan secara dalam talian. Ada kala dia akan berlatih di padang berhampiran rumahnya.

Berkongsi rahsia menjadi pemain bola sepak yang berjaya pada usia muda, Fathullah memberitahu, ada beberapa perkara yang perlu pelajar lakukan.

Bersama pasukan bola sepak ketika menyertai pertandingan 2020 Thailand Champions Cup (B-15 Kedah) yang lalu.

“Pelajar perlu berdisiplin dalam soal masa. Ini penting kerana kejayaan akan bermula apabila kita menjaga masa.

“Datang awal dan bersedia untuk berlatih, jangan lewat. Seterusnya, kerap jalani latihan. Jangan mengeluh, jika ada masalah beritahu coach.

“Kemudian, tonton apa sahaja saluran dalam YouTube berkenaan bola sepak. Tujuannya untuk menambah kemahiran sedia ada. Selepas itu, tengok cara pemain senior bermain,” sambungnya yang meminati pasukan Kedah dan Manchester United Football Club (MU).

Kagum bakat Fathullah

Sementara itu, bekas guru Fathullah, Cikgu Ahmad Fairuz Mohamad dari SK Seri Muda turut mengagumi bakat dan kebolehannya dalam sukan bola sepak.

"Walaupun saya bukan jurulatih dia, tapi saya tahu, Fathullah memang hebat. Dia sentiasa datang awal jika sesi latihan diadakan.

“Malah, dia juga bersemangat dan tidak mudah putus asa ketika bermain bola sepak,” kata guru bahasa Melayu ini.

Cikgu Ahmad Fairuz

BIODATA DIRI

Nama: Muhammad Fathullah Mazlan

Umur: 16 tahun

Personaliti daripada kaca mata Cikgu Ahmad Fairuz

1) Seorang yang baik dengan guru dan rakan sebaya.

2) Disenangi semua orang.

3) Mudah bergaul.

4) Sentiasa berdisiplin dan menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar lain.

Anugerah

  1. Olahragawan Sekolah Rendah 2017

2) Anugerah Kokurikulum Terbaik kategori bola sepak

3) Pemain Terbaik anjuran Majlis Sukan Daerah Kubang Pasu (peringkat kebangsaan dan Liga KPM) 2019.

4) 2020 Thailand Champions Cup (B-15 Kedah) Impian: Menjadi pemain professional dan menyertai skuad kebangsaan

Sebahagian anugerah yang diraih sepanjang pembabitan dalam sukan bola sepak.

Artikel berkaitan 

6 kemahiran asas bola sepak yang perlu pelajar tahu 

Selamat atau tidak? Ini yang patut guru dan pelajar tahu berkenaan aktiviti bersukan

10 faktor Jerman boleh dijadikan pilihan pelajar sambung pengajian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok