keeping-children-hydrated
keeping-children-hydrated

Ibu bapa boleh ikuti 5 cara mudah, pastikan anak-anak kekal hidrat ketika cuaca panas

Adlan Farhan Azwan
29 Mar 2022 01:48pm
A
A
A

Sejak beberapa bulan lalu, negara sedang berada di fasa akhir Monsun Timur Laut yang telah mengakibatkan peningkatan suhu secara mendadak.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), taburan hujan agak rendah sepanjang tempoh tersebut.

Musim persekolahan juga telah bermula bagi sesi 2022/2023 dan ramai pelajar kembali menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah.

Dengan cuaca yang semakin panas, amatlah penting bagi murid sama ada sekolah rendah mahupun menengah untuk kekal hidrat bagi mengelakkan sebarang kemudaratan kepada kesihatan.

Air yang mencukupi juga menjadi lebih penting kepada murid yang akan melakukan aktiviti sukan atau fizikal seperti mana yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, baru-baru ini.

Baca juga

Cuaca panas di Malaysia: Ini langkah sesuai bantu guru dan pelajar lancarkan urusan seharian

Menjaga kesihatan ketika musim panas, guru dan pelajar perlu amalkan 6 tip penting ini!

Jadi, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak minum air dengan cukup supaya dapat terus kekal fokus di dalam kelas serta mengelakkan badan daripada mengalami strok haba.

Antara langkah mudah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa adalah:

1. Sediakan jadual minum air

Jadual air yang disediakan untuk anak-anak mampu membantu agar mereka tidak lupa untuk meminum air kosong. Sebagai contoh, ibu bapa akan menetapkan masa bagi minum air pada pukul 8 pagi, 12 tengah hari, 2 dan 4 petang.

2. Elakkan minuman berkarbonat dan bergula

Air berkarbonat biasanya mengandungi kandungan gula yang amat tinggi. Air sebegini tidak langsung membantu anak-anak untuk kekal hidrat kerana ia akan menyebabkan mereka haus secara berterusan.

3. Bawa air ke sekolah

Ibu bapa boleh sediakan satu botol untuk anak-anak bawa ke sekolah. Ibu bapa juga boleh berpesan supaya menghabiskan air yang dibawa semasa berada di sekolah.

4. Minum air walaupun tidak dahaga

Murid yang berada di sekolah akan terlepas pandang untuk minum air ketika berada di sekolah kerana terlalu sibuk atau berasa seronok. Jadi, ibu bapa perlu pastikan anak-anak tetap minum air walaupun mereka tidak berasa dahaga.

5. Jadi contoh kepada anak-anak

Dalam usaha menerapkan sesuatu nilai ke dalam diri anak-anak, ibu bapa wajib menjadi contoh utama kepada mereka. Oleh itu, mereka harus memperbanyakkan minum air kosong ketika bersama-sama anak-anak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Kekurangan air di dalam badan boleh mendatangkan pelbagai kemudaratan terutamanya kepada anak-anak yang masih bersekolah.

Jadi, ibu bapa perlu peka dan mengawasi pengambilan minuman oleh anak-anak dan seterusnya dapat mengekalkan kesihatan yang baik.

Semoga perkongsian kali ini dapat membantu murid-murid untuk kekal hidrat tidak kira di sekolah mahupun di rumah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok