"Tanpa mereka, mana mungkin saya dinobatkan sebagai penerima Guru Cemerlang Pendidikan Khas"- Cikgu Kumaresan
Ketika diumumkan sebagai penerima Anugerah Guru Cemerlang kategori Guru Cemerlang Pendidikan Khas 2021 baru-baru ini, tiada apa yang terlintas dalam fikiran melainkan mahu berterima kasih kepada murid-murid istimewanya.
Cikgu Kumaresan A/L Muniandy yang merupakan guru pendidikan khas Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Merbok, Kedah berkata, anugerah itu cukup bermakna dan dia mahu kongsikan bersama Murid Berkeperluan Khas (MBK) di sekolah tersebut.
“Tanpa mereka, mana mungkin saya mampu menjadi seperti hari ini.
“MBK SMPKV telah banyak mengajar saya erti kesabaran, ketabahan dan kecekalan menjadi seorang guru pendidikan khas,” katanya.
Menurut Cikgu Kumaresan, sudah 11 tahun dia berkhidmat sebagai guru pendidikan khas.
Dalam tempoh tersebut, pelbagai anugerah telah diraih di peringkat antarabangsa, namun anugerah kali ini adalah yang terindah sepanjang menjadi guru pendidikan khas.
“Terindah maksud saya, segala usaha dan program yang diketengahkan membuahkan hasil.
“Program kemenjadian MBK seperti Program Transisi Kerjaya, Projek School Enterprise Keusahawanan Kedai Dobi OKU, Projek Hello School To Work dan JobCoach berjaya melahirkan ramai MBK bergelar usahawan dan pekerja di sektor perhotelan.
“Sebagai cikgu, sudah tentu saya sangat gembira dan bangga dengan pencapaian mereka. Sekurang-kurangnya usaha keras selama ini akhirnya dapat membantu murid istimewa menjadi individu berjaya,” kata Cikgu Kumaresan.
Artikel berkaitan
Punya semangat yang luar biasa, Nor Shazlina sanggup sengkang mata demi dapatkan ijazah kedua
Terperangkap dalam kesesakan, graduan USM tumpang motosikal untuk hadir ke majlis konvokesyen
Berkongsi sedikit pesanan daripada salah seorang pensyarahnya satu ketika dahulu, Cikgu Kumaresan berkata, pesanan itu akan kekal dalam ingatan sampai bila-bila.
“Saya masih ingat lagi apa yang pensyarah pesan…katanya ‘Apa nilai segulung ijazah yang kamu terima, jika kamu tidak menyumbang bakti pada insan istimewa',” ujar guru ini.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Dalam perkembangan lain, Cikgu Kumaresan memberitahu yang hidupnya sangat teratur semenjak bergelar guru pendidikan khas.
“Mendidik insan istimewa merupakan satu anugerah yang Tuhan beri pada kita selaku guru pendidikan khas.
“Tiada individu lain selain kita yang boleh memahami, mendidik dan menjadikan mereka insan yang hebat dalam kalangan masyarakat. Sesungguhnya murid-murid istimewa ini adalah yang terbaik buat cikgu yang bergelar guru pendidikan khas,” katanya.