HomeGen AlphaAktivitiJalinan kerjasama guru dan pelajar, SMK Seri Permaisuri berjaya ungguli pertandingan cipta...

Jalinan kerjasama guru dan pelajar, SMK Seri Permaisuri berjaya ungguli pertandingan cipta resipi makanan sihat

KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Permaisuri telah dinobatkan sebagai johan pertandingan Program Pemakanan Sihat Gardenia #RollingHealthyWithRollUpWraps anjuran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, baru-baru ini.

Dalam program yang turut mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu, pelajar-pelajar dan guru dari 20 buah sekolah di sekitar Lembah Klang bersaing secara sihat mencipta resipi berpandukan kedua-dua Piramid Makanan Malaysia dan Pinggan Sihat Malaysia.

SMK Seri Permaisuri yang diwakili oleh guru pembimbing, Haslina Ramli serta tiga pelajar Tingkatan Lima iaitu Nor Adriana Batisyia, Nurul Farlisa Idrish, dan Adeem Khairil memilih untuk mengetengahkan resipi The Permaisuri.

Baca juga

Cikgu suka tidur dalam keadaan lapar? Jangan amalkan kerana ini bahaya yang menanti…

Memilih makanan sihat untuk murid sekolah. Ini panduannya!

Pada pusingan pertama, setiap kumpulan dikehendaki menghasilkan resipi sihat menggunakan produk Gardenia Roll-Up Wraps dan menghantar entri tersebut dalam bentuk video pendek menarik yang membawa mesej ‘Tabiat Pemakanan Sihat’.

Video itu kemudiannya dimuat naik di laman media sosial dengan tanda pagar #RollingHealthyWithRollUpWraps untuk dinilai oleh panel juri dari JPWPKL dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.

Hanya lima entri dengan resipi terbaik akan disenarai pendek. Mereka yang layak akan ke pusingan akhir pertandingan yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi.

Antara hidangan menarik yang dihasilkan oleh pelajar menggunakan Gardenia Roll Up Wrap.

Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid, JPWPKL, Rosniza Hussin berkata, sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur mengambil bahagian secara aktif dalam program hibrid ini yang melibatkan persidangan atas talian dan pengaktifan fizikal di sekolah-sekolah bagi usaha melahirkan tabiat pemakanan yang lebih baik walaupun berdepan pandemik Covid-19.

“Perkara ini patut dibanggakan oleh kita semua kerana kejayaan program ini bukan sahaja membantu menyemai tabiat pemakanan sihat dalam kalangan pelajar malah telah membuktikan bahawa kita semua berjaya menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Sementara itu, Pengurus Pemasaran, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Lavinia Anthony berkata, tabiat pemakanan sihat perlu diterapkan pada usia muda.

“Dengan itu, #Rollinghealthywithrollupwraps adalah sebahagian daripada harapan yang lebih tinggi untuk memperkasakan belia dengan makan dengan lebih sihat.

“Kempen ini bukan sahaja menyediakan informasi pemakanan, ia juga melibatkan para pelajar dalam penyediaan hidangan mereka yang diharapkan dapat menggalakkan kelestarian dan meningkatkan penyesuaian gaya hidup pemakanan sihat,” jelasnya.