Lukis potret guna tangan dan kaki, bakat luar biasa Cikgu Saiful buat ramai terpegun
Melukis potret mungkin dianggap biasa bagi individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang lukisan.
Namun, melukis gambar dengan menggunakan semua tangan dan kaki, semestinya dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa bagi semua orang.
Bagi Guru Pendidikan Seni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin, Manong, Perak, Cikgu Mohd Saiful Baharom Shah, kebolehan menghasilkan beberapa lukisan potret serentak dengan menggunakan tangan dan kaki, telah membuatkan ramai terkejut.
“Saya mengambil masa beberapa jam untuk menghasilkan semua lukisan potret berkenaan.
“Mula-mula saya lukis bahagian demi bahagian sehinggalah ia menjadi satu potret lengkap. Kemudian, untuk mengukuhkan genggaman pen pada kaki, saya menggunakan pita pelekat supaya ia tidak tergelincir.
“Bagi saya, melukis menggunakan kaki ini merupakan perkara paling mencabar kerana memerlukan banyak latihan dan juga daya tumpuan yang tinggi,” katanya yang berjaya melukis wajah penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, penghibur Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dan ramai lagi.
Terdahulu, Cikgu Saiful mula dikenali ramai apabila memuat naik perkongsian video di TikTok miliknya di mana beliau melukis potret sendiri, isteri dan enam orang anaknya, sekali gus meraih 706,300 tontonan dan 56,800 tanda suka.
Rata-rata pengguna TikTok memuji kebolehannya menghasilkan gambar berkenaan, malah menyifatkan ‘anugerah’ yang ada pada cikgu ini jarang dimiliki oleh orang lain.
Berkongsi tentang hobi melukis, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini berkata, dia mula menghasilkan pelbagai karya pada awal tahun 2021.
Ketika itu, Cikgu Mohd Saiful banyak melukis karikatur namun tidak mendapat sambutan menggalakkan.
“Sejak daripada itu, saya mula mencipta satu kandungan menarik dan views terus mencanak naik. Jadi, saya cuba mencari kelainan dari masa ke masa supaya pengikut menyukai hasil karya saya,” katanya.
Dalam pada itu, Cikgu Saiful berkata, lukisan potret yang dihasilkan itu bukan sekadar tontonan sahaja, sebaliknya mahu membuktikan pada orang ramai bahawa insan yang sempurna fizikal juga mampu menghasilkan gambar yang terbaik.
“Biasanya, bila melukis guna kaki ini, mesti orang ingat yang orang kurang upaya (OKU) sahaja yang boleh buat sedangkan orang normal juga boleh lakukan asalkan ada kerajinan, usaha dan sentiasa mahu mencuba perkara baru,” katanya.
Artikel berkaitan
Kelainan sekolah di Jepun yang mungkin ramai tidak tahu. Ini faktanya!
Sering berdepan ketakutan ketika berucap, berikut 14 persediaan yang wajib pelajar hadam!
Inilah anak-anak Malaysia yang genius! Hadiahkan 6 anugerah untuk negara. Luar biasa