276038806_5941387512554813_5696566405982802376_n
276038806_5941387512554813_5696566405982802376_n

Optimus Prime, Spiderman warnai pembukaan sekolah sesi 2022/2023

Adlan Farhan Azwan
21 Mar 2022 12:26pm
A
A
A

Selepas lebih dua tahun berada dalam fasa pandemik, sesi persekolahan bagi kalendar akademik sesi 2022/2023 telah bermula hari ini membabitkan semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Murid-murid yang memulakan sesi persekolahan dilihat teruja kerana dapat kembali ke sekolah seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Keterujaan tersebut dihiasi dengan kehadiran pelbagai maskot adiwira dan juga karakter filem kegemaran kanak-kanak yang menunggu ketibaan murid-murid sejak awal pagi di pagar sekolah.

Baca juga

Sesi persekolahan fasa endemik: Cabaran baharu guru, pelajar

5 tip beli seragam sekolah berkualiti, 4 kedai ini ibu bapa wajib pergi

Menurut satu laporan daripada Sinar Harian, murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul, Seremban, Negeri Sembilan telah disambut dengan kehadiran dua bekas pelajar sekolah berkenaan yang memakai kostum Optimus Prime daripada filem Transformers.

Optimus Prime menyambut murid datang ke sekolah. Kredit foto: Sinar Harian

Kehadiran dua pelajar berkenaan itu bukan sahaja berjaya menarik perhatian seramai 640 murid, tetapi juga ibu bapa yang tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar anak-anak mereka bersama maskot tersebut.

Guru Besar, SK St Paul A Santhanasmy berkata, sudah menjadi tradisi sekolah itu sejak tahun 2016 untuk menyediakan 'penyambut tetamu' setiap kali sesi baharu persekolahan.

"Tujuan kita mahu murid-murid datang ke sekolah dalam suasana ceria dan bersemangat terutama buat murid Tahun Satu yang kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah.

"Kali pertama kita tampilkan badut dan bila tengok tiada drama air mata murid-murid Tahun Satu, sekolah terus buat keputusan tampilkan pelbagai watak penyambut tetamu setiap kali sesi baharu persekolahan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Selain itu, Noranizan Hamidin yang merupakan ibu kepada salah seorang murid di Sekolah Agama Negeri Kg Tengah Kinarut, Sabah turut berkongsi kisah gembira apabila maskot Spiderman telah hadir bagi menyambut murid-murid sekolah itu.

Dua murid sekolah Sekolah Agama Negeri Kg Tengah Kinarut, Sabah bergambar bersama Spiderman. Kredit foto: Noranizan Hamdin

Menurutnya, pada mulanya anaknya tidak bersemangat untuk ke sekolah tetapi sebaik sahaja melihat Spiderman, dia kemudiannya terus berasa teruja.

“Mula-mula anak saya tidak mahu ke sekolah dan tidak bersemangat tetapi selepas melihat Spiderman yang sudah bersedia untuk menyambut murid-murid, dia terus buka pintu dan bertemu dengan adiwira yang diminati ramai itu.

“Saya juga sebagai ibu turut merasai keterujaan tersebut dan tidak perlu risau kerana pihak sekolah telah mengikut segala SOP yang ditetapkan,” kongsinya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok