95A79CA2-EA2D-498A-8618-17882148AA2F
95A79CA2-EA2D-498A-8618-17882148AA2F

Perbezaan antara Tabika Kemas dan prasekolah KPM, ibu bapa wajib tahu

Rasyidah Zulkifi
27 Mar 2022 02:38pm
A
A
A

Dahulu sebelum wujudnya prasekolah, ibu bapa menghantar anak-anak di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Kemudian apabila prasekolah diperkenalkan pada tahun 2017, ramai ibu bapa yang beralih ke sini pula.

Pun begitu, Tabika Kemas masih terus beroperasi walaupun prasekolah mendapat perhatian.

Konsepnya sama iaitu kedua-dua kategori sekolah ini adalah memberi asas pendidikan kepada anak murid selaras dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK).

Baca juga

ePrasekolah: Permohonan kemasukan bermula hari ini

Hari pertama sekolah, murid prasekolah salah masuk kelas Tahun Satu

Namun, terdapat beberapa ciri yang membezakan murid prasekolah dan murid Kemas.

Tabika Kemas

Tabika merupakan rancangan pendidikan awal kanak-kanak yang diselia oleh Kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Kumpulan sasaran bagi program Tabika adalah untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan luar bandar berusia empat hingga enam tahun.

Tabika Kemas menerima kemasukin murid berumur empat hingga enam tahun.

Konsep pusat pendidikan ini adalah ‘Belajar Melalui Bermain’ yang disesuaikan dengan kelaziman kanak-kanak suka bermain.

Murid-murid Tabika Kemas akan diajar kemahiran 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul sebelum memulakan persekolahan Tahun Satu.

Mereka juga akan diterapkan dengan nilai-nilai murni di sekolah untuk membentuk menjadi individu yang holistik.

Pengurusan Tabika memerlukan kerjasama antara pihak Kemas dan masyarakat, manakala guru Kemas bertindak sebagai Pemaju Masyarakat.

Yuran wajib dibayar adalah sebanyak RM20 tidak termasuk tudung, baju sukan dan pakaian seragam, sementara, ibu bapa mempunyai komitmen untuk membayar sumbangan bulanan serendah lima ringgit.

Prasekolah

Prasekolah merupakan program pendidikan awal kanak-kanak yang dijalankan oleh KPM di kebanyakan sekolah rendah.

Kuota permohonan kemasukan ke prasekolah itu adalah terhad yang memfokuskan murid lima dan enam tahun.

Dahulunya dihadkan kepada pemohon yang terawal, kini, ibu bapa yang cepat bertindak berpeluang menyekolahkan anak mereka di sekolah tersebut.

Prasekolah di sekolah rendah menerima kemasukan murid seawal usia lima tahun.

Pendaftaran pula secara dalam talian dibuka pada Mac setiap tahun berdasarkan pengumuman semasa KPM.

Yuran yang dikenakan adalah RM90 dan tiada bayaran bulanan dikenakan.

Murid-murid terpilih tidak perlu membawa peralatan sekolah kerana semua disediakan termasuk makan dua kali sehari.

Bagi pemakaian pula, murid prasekolah dikenakan memakai baju sukan berwarna putih, berseluar trek dan berkasut sekolah putih.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Guru prasekolah seorang sahaja ditemani seorang pembantu pengurusan murid kerana bilangan murid prasekolah sangat terhad.

Kesimpulannya, pilihan terletak pada tangan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak di Tabika Kemas atau prasekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok