HomeGen Z13 solusi atasi masalah beg berat, KPM akhirnya pertimbang penyediaan lokar di...

Artikel Berkaitan

13 solusi atasi masalah beg berat, KPM akhirnya pertimbang penyediaan lokar di sekolah

Isu beg sekolah berat yang sudah mula dibincangkan sejak tahun 1980-an mula mendapatkan perhatian Kementerian Pendidikan (KPM) apabila Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan tujuh pendekatan dan ketetapan yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.

Ia termasuk penyediaan lokar bagi menangani isu itu, khususnya bagi murid Tahap Satu di sekolah rendah dan penyusunan semula jadual waktu.

Sebelum pendekatan berkenaan diumumkan, pelbagai pandangan dan cadangan telah dikemukakan oleh ibu bapa untuk perhatian pihak KPM dan sewajarnya cadangan yang baik untuk kesejahteraan murid-murid diberikan perhatian oleh kementerian, disusuli tindakan penyelesaian dengan kadar segera.

Meskipun ketetapan penyelesaian sudah diumumkan oleh KPM, Sinar Bestari kongsikan lagi beberapa solusi jangka pendek, sederhana dan panjang yang dicadangkan Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad bagi mengatasi masalah ini secara konkrit.

Ada beberapa cadangan sudah diambil kira oleh KPM manakala selebihnya mungkin boleh dipertimbangkan untuk penambahbaikan kepada penyelesaian isu berkenaan dengan lebih menyeluruh dan jitu di masa depan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Solusi jangka pendek
Pihak sekolah bersama ibu bapa boleh sediakan lokar/rak/almari/bekas plastik di sekolah untuk murid tahap satu (Tahun Satu hingga Tiga) menyimpan buku teks di dalam kelas atau di dalam bilik penyimpanan.

Semua murid Tahun Satu wajib ditempatkan di kelas aras tanah bangunan sekolah untuk elakkan kesukaran memanjat dan mengelakkan insiden mungkin terjatuh di tangga bangunan sekolah.Hadkan penggunaan buku modul, buku kerja dan buku latihan.

Amalkan satu mata pelajaran satu buku latihan sahaja.Tegaskan pada ibu bapa untuk pastikan buku yang dibawa oleh anak-anak mengikut jadual waktu harian.

Setiap guru memaklumkan kepada murid-murid sekolah rendah apakah buku yang perlu dibawa untuk kelas akan datang.

Guru Besar sekolah rendah diberikan kuasa oleh KPM untuk tentukan adakah buku teks perlu dibawa ke sekolah atau tidak di sekolah masing-masing.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Solusi jangka sederhana
KPM lakukan semakan kurikulum sekolah rendah untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran dan isi kandungan bagi setiap mata pelajaran.

Hasilkan buku teks sekolah rendah dalam format berjilid mengikut penggal persekolahan bukan lagi tahunan.

Tingkatkan penggunaan e-buku teks bagi sekolah rendah yang mempunyai akses internet.
Guru menggunakan projektor paparan LCD e-buku teks semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan di dalam kelas untuk rujukan murid-murid.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Solusi jangka panjang
Mulakan agenda atau kajian untuk memansuhkan penggunaan buku teks di sekolah rendah. Amalkan e-buku teks sepenuhnya secara online atau offline.

Kukuhkan pembelajaran sekolah rendah berteraskan aktiviti menarik dan menyeronokkan yang dirancangkan sepenuhnya oleh guru.

Oleh kerana tidak ada peperiksaan berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), guru seharusnya mempunyai autonomi PdP berasaskan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP) dan tidak lagi terikat sepenuhnya dengan skema dan isi kandungan buku teks sahaja.

Artikel Terkini