35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat penerima Tokoh Guru Terengganu 2022
35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat penerima Tokoh Guru Terengganu 2022

35 tahun jadi pendidik, Cikgu Zah kini dinobat Tokoh Guru Terengganu 2022

webadmin
21 May 2022 10:55pm
A
A
A

Sentiasa ikhlas dan menasihati pelajar umpama seorang ibu serta mengutamakan kerja berpasukan antara prinsip diamalkan penerima Anugerah Tokoh Guru peringkat negeri Terengganu 2022, Zah Mohamad.

Mesra disapa Cikgu Zah, beliau yang bersara daripada bidang perguruan dengan jawatan terakhir sebagai pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin Kuala Terengganu pada 1 Feb 2019 berkata, pengiktirafan itu adalah kenangan paling manis dalam hidupnya sepanjang bergelar seorang guru.

"Saya akan meraikan pengiktirafan ini bersama warga SMK Padang Midin dan berharap anugerah ini akan menjadi motivasi kepada semua guru untuk terus berkhidmat dengan penuh cemerlang agar dapat melahirkan insan berilmu serta berjaya untuk agama, bangsa dan negara.

"Walaupun sudah bersara, saya masih aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan kini sedang menulis sebuah buku berkaitan aspek pengurusan dan pentadbiran dalam bidang pendidikan supaya bermanfaat kepada sesiapa sahaja," katanya yang berusia 63 tahun.

Beliau ditemui selepas menerima anugerah yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2022 yang turut dihadiri lebih 500 guru di negeri berkenaan.

Cikgu Zah yang berkhidmat di lima sekolah dalam tempoh 35 tahun perkhidmatan membawa pulang wang tunai RM5,000, selempang, pingat, persalinan songket dan telekung, jam tangan, tudung, plak dan sijil penghargaan.

Ibu kepada empat anak itu memulakan tugasnya pada 1984 di SMK Agama Tok Jiring setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu dan Pengajian Islam di Universiti Malaya pada 1982 dan diploma pendidikan pada 1983.

Pada majlis itu, bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong turut dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Kepimpinan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan.

Beliau yang meninggalkan bidang pendidikan pada 2013 untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-13 berkata, guru perlu sentiasa memainkan peranan sebagai insan yang menyatukan ummah walau di mana sahaja mereka berada.

"Kerjaya guru sentiasa dipandang mulia dan saya berharap golongan pendidik muda akan terus memperkasakan usaha mereka untuk mendidik anak bangsa terutama dalam kemajuan era digital ketika ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong Jabatan Pendidikan Negeri demi melahirkan generasi berkualiti dalam aspek ilmu pengetahuan, kemahiran dan mempunyai nilai sahsiah yang tinggi.

"Setelah negara memasuki era peralihan ke fasa endemik, saya berharap lebih banyak program pendidikan akan diadakan seperti tahun-tahun sebelum ini agar matlamat kecemerlangan dapat dicapai," katanya.

Artikel berkaitan 

Idea hadiah Hari Guru yang berpatutan dan menarik, ibu bapa pasti tak sabar hendak buat

Kaki pancing tegar! Muhammad Zafri tunjuk kehebatan tangkap udang

“SUTAMA dikenali bukan kerana saya seorang tetapi ia hasil kerja berpasukan”


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok