pexels-shvets-production-8028342
pexels-shvets-production-8028342

4 tip keperluan belajar berenang

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Dec 2021 11:01am
A
A
A

Renang merupakan salah satu acara sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda.

Bagi pembaca yang baru berjinak-jinak dengan sukan renang, mesti tidak mempunyai pengalaman mengenai apa yang patut dilakukan jika ingin belajar berenang.

Minggu ini GPSBestari mendapatkan tip dan pandangan daripada Pengarah Urusan yang juga Ketua Jurulatih di Turtle Swimming Academy Sdn Bhd, Syaizalah Kamarudin, mengenai apa yang perlu dilakukan jika ingin belajar berenang.

Semoga perkongsian kali ini memberi manfaat kepada semua.

Gambar hiasan daripada Pexels.

LOKASI

Pemilihan lokasi adalah sangat penting. Kolam renang adalah tempat yang paling tepat sekiranya ingin belajar berenang dengan mudah.

Selain faktor keselamatan (lifeguard), kolam renang juga tiada arus dan tarikan graviti yang kuat berbanding lokasi lain seperti sungai, laut, tasik ataupun bekas lombong.

Ini kerana, lokasi selain kolam renang dilihat kurang selamat kerana mempunyai arus yang kuat dan sukar diduga serta tarikan graviti yang lebih kuat.

Gambar hiasan daripada Pexels.

JURULATIH

Memang ramai orang pandai berenang tetapi tidak semua layak mengajar berenang. Oleh itu, pilih jurulatih yang berkelayakan dan telah mengikuti kursus mengajar, baik dari persatuan renang di Malaysia ataupun pertubuhan luar negara yang diiktiraf.

Mereka ini telah terlatih untuk mengajar dengan teknik yang betul serta dilengkapi dengan kemahiran membabitkan aspek bantuan kecemasan.

PAKAIAN

Bagi memastikan seseorang individu itu dapat berenang dengan mudah dan selesa, pemilihan pakaian yang sesuai juga sangat penting. Seeloknya, pakailah pakaian renang yang betul.

Elakkan memakai t-shirt, jersi, seluar trek atau pakaian harian biasa untuk belajar. Selain memudahkan sesi pembelajaran, faktor keselamatan juga bergantung kepada pakaian yang dipakai.

Gambar hiasan daripada Pexels.

ALATAN

Terdapat pelbagai alatan atau swimming gear di pasaran tetapi alatan apakah yang perlu ada untuk belajar berenang? Tidak semestinya perlu beli bermacam-macam alatan, cukup dengan goggle, swim cap dan kickboard.

Goggle untuk memudahkan seseorang individu itu melihat apabila kepalanya berada di dalam air dan tahu apa yang sedang berlaku.

Penggunaan swim cap bertujuan untuk mengemaskan rambut terutama bagi wanita yang mempunyai rambut panjang malah ada pengurusan kolam renang yang mewajibkan pemakaian swim cap atas tujuan kebersihan kolam.

Pengunaan kickboard atau papan pelampung adalah untuk memudahkan sesi pembelajaran. Pilih kickboard yang berkualiti supaya boleh digunakan untuk tempoh yang lama.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok