todak
todak

5 ciri menjadi pembangun permainan dalam talian

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Apr 2022 12:39pm
A
A
A

Industri permainan dalam talian di Malaysia dilihat semakin berkembang apatah lagi sejak negara dilanda pandemik, masyarakat banyak menghabiskan masa di rumah dengan telefon pintar masing-masing.

Tidak kurang juga yang memilih untuk mengisi masa terluang dengan bermain permainan dalam talian sekali gus merancakkan lagi industri e-sukan di negara ini malah semakin ramai generasi muda yang mula menjadikan ia sebagai satu daripada cabang kerjaya.

Minggu ini Sinar Bestari berpeluang mendapatkan pandangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Todak Studios yang juga pembangun permainan police sentri, Ahmad Fadli Ahmad Dahlan mengenai ciri-ciri yang perlu ada dalam diri seorang pembangun permainan dalam talian.

Menurut Ahmad Fadli, terdapat perbezaan antara bidang tugas yang dijalankan oleh pembangun permainan dan pereka permainan dalam talian.

Ahmad Fadli.

“Saya meletakkan pembangun permainan sebagai satu terma yang umum untuk menggambarkan sesiapa sahaja yang terlibat dalam pembuatan permainan video, sama ada sebagai artis, pereka, pengaturcara ataupun yang terlibat dalam pemasaran untuk permainan video itu sendiri.

“Pereka permainan pula adalah salah satu bidang dan jawatan yang diperlukan dalam pembangunan permainan video yang mana tugasnya adalah untuk merancang dan mereka permainan video itu, seperti seorang arkitek yang mereka pelan untuk sebuah bangunan,” katanya.

Ujarnya lagi, kemahiran yang perlu dikuasai oleh individu yang terlibat dalam penghasilan permainan dalam talian pula bergantung kepada posisi atau jawatan yang ingin disandang.

“Bagi bidang pengajian pula, saya percaya terdapat banyak universiti yang menawarkan program berkaitan dengan industri permainan video seperti pembangunan, rekaan dan pengaturcaraan permainan, animasi, kursus seni 2D/3D, sains komputer dan banyak lagi.

“Pasukan pembuatan permainan juga memerlukan individu yang mempunyai kelulusan dalam bidang pengajian dan kemahiran lain seperti pemasaran, penulisan skrip, komposisi muzik, kejuruteraan audio dan sebagainya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ahmad Fadli turut berkongsi lima ciri yang perlu ada pada individu untuk menjadi pembangun permainan dalam talian.

Gambar hiasan daripada Pexels.

5 ciri yang perlu ada untuk jadi pembangun permainan

Minat yang tinggi terhadap permainan video dan industri permainan video

Minat ini akan mendorong seseorang itu untuk lebih cekal dan bersemangat di dalam tugasan mereka. Membuat permainan video bukanlah perkara yang senang dan ia memakan masa yang lama untuk menghasilkan satu produk.

Kerjasama dalam pasukan

Kebanyakan permainan video dihasilkan oleh sekumpulan individu daripada latar belakang yang berbeza. Jadi, adalah penting untuk pembangun permainan boleh bekerja dengan orang lain supaya kerja dapat dihasilkan dengan cepat dan berkualiti.

Pandai berkomunikasi

Projek membangunkan permainan video ini memakan masa yang lama. Komunikasi yang pantas dan tepat penting untuk memastikan projek itu tidak melanggar garis masa yang telah ditetapkan. Tambahan pula, malu berkomunikasi atau komunikasi yang tidak tepat akan menghasilkan kerja yang mungkin tidak betul berdasarkan apa yang diinginkan oleh pereka atau pengarah permainan.

Pengurusan masa yang hebat

Seperti ciri sebelum ini, pengurusan masa juga penting untuk menghasilkan permainan agar projek tidak berlarutan terlalu lama sekali gus melebihi perancangan asal.

Kemahiran penyelesaian masalah

Dalam pembangunan permainan video, kita akan sentiasa berdepan dengan masalah sama ada dijangka ataupun tidak. Ini adalah normal. Dengan kemahiran penyelesaian masalah yang bagus dan tidak mudah menyerah kalah, kita dapat mengurangkan kelewatan dalam menghasilkan produk permainan video.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok