peralatan4
peralatan4

6 peralatan penting memancing udang

Nor Azma  Muhamat Laila
09 May 2022 10:19am
A
A
A

“Ada udang, ada buaya.” Itu lumrah yang biasa diperkatakan oleh pemancing udang galah bagi memastikan setiap pemancing sentiasa berhati-hati dalam apa jua keadaan ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Tidak kira memancing udang atau ikan, ia memerlukan peralatan tertentu bagi memastikan umpan sentiasa mengena dan membuahkan hasil yang lumayan.

Sehubungan itu, minggu ini Sinar Bestari kongsikan beberapa jenis peralatan yang diperlukan untuk memancing udang sebagai panduan kaki pancing di luar sana.

Gambar hiasan daripada Pexels.

1. Pancing / Joran

Batang pancing atau joran hendaklah lembut dan mudah melentur. Kalau dulu orang menggunakan ranting buluh duri / buluh minyak / buluh pelenting (sejenis buluh kecil - biasa dijadikan pancing di kampung). Hari ini pemancing biasanya menggunakan joran yang panjang 3 hingga 3.5 kaki. Pancing sepanjang ini amat sesuai memancing menggunakan bot atau sampan. Jika memancing di tebing, gunakan joran panjang sedikit iaitu 4 hingga 4.5 kaki.

2. Tali utama

Gunakan tali yang berdiameter halus supaya dapat merasai kenikmatan memancing udang galah. Anda hanya perlukan tali yang berukuran 10 hingga 15 paun saja untuk tali utama.

Gambar hiasan daripada Pexels.

3. Perambut Mata

Tali perambut mata kail hendaklah lebih halus daripada tali utama. Tali tangsi berukuran 5 hingga 8 paun sudah cukup kerana berat udang jarang melebihi 800 gram. Penggunaan perambut halus juga penting apabila sangkut di kayu, tunggul dan seumpamanya, perambut mudah putus dan batu ladung masih ada.

4. Mata Kail

Gunakan mata kail, mata sabit. Terdapat dua jenis mata kail iaitu berduri pandan dan tidak berduri. Jika memancing udang galah di sungai, mata kail berduri yang bersaiz 1/0 (saiz udang lebih 600 gram), 2 dan 3 adalah digalakkan. Penggunaan mata saiz 2 dan 3, batu ladung saiz 3 dan 4 serta kelembutan batang pancing / joran bersaiz 6 hingga 10 lebih sensitif jika udang mula memegang umpan.

Gambar hiasan daripada Pexels.

5. Batu ladung

Penggunaan batu ladung sangat penting kerana kebiasaannya udang galah hidup di tempat yang berarus. Jika lubuk atau sungai yang tenang, hanya perlukan saiz batu ladung 2, 3 atau 4. Jika tempat yang berarus pula gunakan batu ladung yang bersaiz 5 hingga 6 adalah amat sesuai. Semua bergantung kepada situasi atau lokasi anda memancing.

6. Umpan

Umpan adalah satu benda penting untuk memancing udang galah. Kebiasaannya gunakan umpan cacing tanah (cacing lembik atau merah), anak udang bendang, umpun-umpun dan hati ayam yang dihiris kecil. Apa-apapun, tanya pemancing-pemancing yang memancing di lokasi yang diterjah. Apa umpan yang digunakan di sungai itu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok